Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemangku Sultan Johor mahu perbaiki negeri, kehidupan rakyat Johor

Jun 10, 2024 | 1:19 PM
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (tengah), ramah menyantuni belia yang hadir pada Program Johor Youth Meet-Up di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (tengah), ramah menyantuni belia yang hadir pada Program Johor Youth Meet-Up di Iskandar Puteri, Johor Bahru. - Foto FACEBOOK CROWN PRINCE OF JOHOR

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mahu Johor terus merintis perubahan dalam pelbagai perkara bagi meningkatkan kedudukan negeri dan rakyat dalam pelbagai bidang.

Memberi contoh kerjasama Johor dan Singapura dalam bidang pendidikan, Tunku Mahkota Ismail, berkata semangat itu seiring dengan matlamat beliau untuk membuat perubahan dan memperbaiki negeri Johor dan kehidupan rakyat dari setiap aspek termasuk pembangunan infrastruktur, pendidikan dan sebagainya.

“Contohnya dalam bidang pendidikan, kerajaan negeri Johor menjalankan projek bersama Singapura untuk silibus pendidikan baru dengan membabitkan pertukaran program dan latihan guru,” katanya dalam podcast pada Program Johor Youth Meet-Up di Iskandar Puteri, Johor Bahru, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurut Tunku Mahkota Ismail beliau mahu melihat pendidikan anak Johor berubah dan mampu kembali memberi sumbangan kepada negeri itu.

“Pendidikan kita perlu ubah di mana saya nak tengok anak-anak Johor boleh buat keputusan secara rasional. Saya mahu tengok anak-anak Johor kembali berkhidmat dalam negeri dan memberi sumbangan balik kepada sistem dalam negeri yang boleh memajukan ekonomi dan pelbagai bidang di Johor,” katanya.

Walaupun mengakui sedar akan kewujudan gerakan yang cuba melakukan ‘pembunuhan watak’ terhadap beliau sejak akhir-akhir ini, Tunku Mahkota Ismail berkata beliau sama sekali tidak terkesan dan akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor.

Menurut beliau dengan kuasa dan pangkat yang ada, kepentingan Johor dan seluruh rakyatnya akan terus menjadi keutamaan beliau.

“Ini adalah motivasi buat saya, saya harap apabila saya sudah tidak ada lagi dalam dunia ini, rakyat Johor akan kenang jasa dan perkhidmatan saya kepada negeri ini.

“Jika saya tidak boleh guna kedudukan yang diberikan ini dan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk melakukan perubahan, baik tidak perlu kedudukan ini.

“Matlamat saya adalah untuk membuat perubahan dan perbaiki negeri Johor dan kehidupan rakyatnya dari setiap aspek termasuk pembangunan infrastruktur, pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Tunku Mahkota Ismail turut mengakui pelik apabila ada pihak yang menimbulkan teori konspirasi seolah-beliau mahu pun Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi punca serangan simbahan asid terhadap pemain sayap kebangsaan dan pemain Selangor FC, Faisal Halim, baru-baru ini.

“Pertama sekali, Faisal Halim ini budak dan pemain yang baik, tetapi saya tidak tahu hidup peribadinya. Apa yang berlaku pada dia (simbah asid) memang satu perbuatan yang perlu dikutuk, cuma apa kena mengena dengan saya? Ada yang kata TMJ (Tunku Mahkota Johor) ini mastermind (dalang).

“Kalau saya nak ‘habiskan’ orang, saya ada target (sasaran) yang lebih besar dalam negara ini, yang ambil duit rakyat, yang susahkan rakyat, yang rompak duit rakyat, orang macam ini penjenayah yang perlu dihapuskan, bukan pemain bola sepak,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg