Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemangku Sultan Johor nafi keras kaitan kes simbah asid pemain bola Faisal Halim

May 20, 2025 | 11:25 AM
Tunku Mahkota Ismail, Faisal Halim, bola sepak, simbah asid
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. - Foto HRH CROWN PRINCE OF JOHOR

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang cuba mengaitkan beliau dengan kejadian serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

Menurut beliau, tindakan mengaitkan dirinya atau kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kejadian itu adalah tidak berasas dan tidak beretika.

“Saya dan JDT tidak perlu turunkan diri ke tahap serendah itu. Saya ini seorang askar, kalau saya ada sesuatu untuk disampaikan atau dilakukan, saya tidak akan bersembunyi di sebalik tindakan pengecut seperti itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada 19 Mei.

Tunku Ismail berkata setiap kali berlaku isu besar dalam negara, pasti akan timbul spekulasi dan bisikan yang cuba mengaitkan beliau, termasuk dalam perkara yang tiada kaitan langsung.

“Menarik, bukan? Nampaknya, apa sahaja yang berlaku mesti dikaitkan dengan saya,” ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menegur sikap sesetengah pihak yang tidak senang dengan kedudukan dan pengaruhnya, dan menegaskan bahawa pengaruh bukan sesuatu yang boleh dielakkan, lebih-lebih lagi dalam kedudukan beliau yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).

“Jikalau apa yang membuatkan anda sakit hati adalah pengaruh, maka saya ada berita yang kurang baik: pengaruh itu tidak akan hilang. Sama ada dalam bola sepak, politik atau apa jua bidang sekalipun, ia adalah sebahagian daripada ekosistem,” katanya.

Tunku Ismail, 41 tahun, turut menambah bahawa pengaruh, kuasa, pengalaman dan kedudukan kewangan beliau hanya akan terus berkembang dari masa ke masa.

Beliau juga menafikan sebarang kaitan dengan pemilikan bazar Ramadan dan kejadian pergaduhan di sebuah konsert punk tempatan baru-baru ini.

“Serius? Adakah muka saya nampak seperti seseorang yang cari keuntungan daripada gerai bazar Ramadan?

“Konsert punk tempatan pula tu. Adakah muka saya kelihatan seperti orang yang habiskan masa dengan ‘headbanging’ di gig punk underground?” katanya.

Menurutnya, isu sebenar bukanlah apa yang telah beliau lakukan, tetapi hakikat bahawa beliau mempunyai keupayaan untuk melakukannya.

“Belajarlah untuk terima… atau cubalah habiskan saya terus. Sebab saya tidak akan ke mana-mana. Saya di sini untuk berkhidmat kepada negeri saya dan memartabatkannya,” tegas beliau.

Terdahulu, siasatan tragedi serangan asid terhadap Faisal berakhir dengan kehampaan apabila polis menamatkan siasatan kes terbabit kerana gagal menemui petunjuk atau suspek terlibat.

Menurut peguam kepada pemain sayap Selangor FC itu, Nik Zarith Nik Moustpha, surat Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Februari memaklumkan, siasatan pihak polis gagal mengaitkan kes berkenaan dengan mana-mana individu dan tiada suspek dapat dikenal pasti, justeru kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg