Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemangku Sultan Johor: Sila pindah negeri lain jika tidak setuju cuti Sabtu, Ahad

Oct 11, 2024 | 11:21 AM
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto FACEBOOK HRH CROWN PRINCE OF JOHOR

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menitahkan mana-mana pihak yang tidak bersetuju cuti hujung minggu di Johor ditukar kepada Sabtu dan Ahad supaya berpindah ke negeri lain.

“Dengan izin dan restu Yang Di-Pertuan Agong, pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor, kerajaan negeri, agensi kerajaan dan rakyat, maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad.

“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 Oktober, lapor Malaysiakini.

Menurut Tunku Ismail, keputusan itu diambil dengan mempertimbangkan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan anak serta kesan ekonomi yang positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri Johor.

Pada 7 Oktober, beliau mengumumkan cuti hujung minggu di negeri Johor ditukar dari Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Beliau turut mengarahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Mufti Johor supaya mengadakan perbincangan berkaitan keputusan terbaru itu.

Johor sebelum ini pernah mengubah cuti hujung minggunya.

Negeri itu melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad kali pertama pada 1994, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi menteri besar.

Susulan keputusan terkini itu, Ahli Parlimen (AP) Pasir Gudang, Encik Hassan Abdul Karim, mengkritik pengumuman berkenaan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, pemimpin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, Jumaat adalah hari mulia dalam budaya Islam dan mempunyai pengertian besar bagi penganut agama itu di seluruh dunia.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) Johor yang bersetuju dengan Encik Hassan, beranggapan penukaran cuti hujung minggu di Johor itu adalah peninggalan penjajah.

Sementara itu, Datuk Onn Hafiz berkata keputusan tersebut tidak wajar dijadikan bahan politik, lapor Berita Harian Malaysia.

“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat Jumaat, kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor di mana mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang dengan memudahkan mereka merancang aktiviti pada hujung minggu.

“Saya berharap tidak ada lagi mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi, kenyataan dan menjadikan ia bahan politik yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan keharmonian negeri Johor,” katanya dalam kenyataan pada 11 Oktober.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg