JOHOR BARU: Perubahan cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad mulai Januari 2025 mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk ibu bapa, belia dan pertubuhan perniagaan.
Menurut mereka, penyeragaman cuti hujung minggu akan membolehkan perancangan kegiatan keluarga yang lebih baik, manakala perniagaan menjangka kerjasama dan penyelarasan lebih baik antara kerajaan negeri dengan agensi Persekutuan yang beroperasi di luar Johor.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mengumumkan pada 7 Oktober bahawa cuti hujung minggu di Johor ditetapkan pada Sabtu dan Ahad mulai Januari 2025.
Seorang penyelia pembersihan, Encik S. Srikanth, 48 tahun, mengalu-alukan pengumuman itu, sambil menyatakan ia akan membolehkan beliau dan isterinya menghabiskan lebih banyak masa bermutu bersama dua anak mereka yang berusia 11 dan lima tahun.
“Isteri saya bekerja di Singapura sebagai operator kilang dan cuti pada Sabtu dan Ahad, sama seperti saya sejak saya bekerja di Johor Bahru. Sebelum ini, kami hanya boleh meluangkan masa bersama anak kami pada Sabtu kerana Ahad hari bersekolah.
“Dengan perubahan cuti hujung minggu ini kami dapat menghabiskan masa dua hari bersama. Perubahan ini juga akan membantu kami mengatur dengan lebih baik perjumpaan keluarga dan percutian bersama saudara-mara di luar Johor,” katanya, lapor The Star.
Presiden Pergerakan Anak Muda Malaysia Johor, Cik Brevia Pan Woon Shien, pula menyatakan perubahan cuti hujung minggu itu penting untuk membantu perniagaan Johor selaras dengan jadual penghantaran antarabangsa.
“Dari segi logistik, kami kini boleh mengendalikan perniagaan dari Isnin hingga Jumaat, sama seperti negara jiran Singapura, memandangkan penghantaran global biasanya hanya berjalan pada hari kerja,” kata Cik Pan, yang berharap tiada lagi perubahan cuti hujung minggu selepas ini untuk meningkatkan keyakinan pelabur di Johor.
Naib Presiden Majlis Belia Johor, Encik Azhar Zainal Abidin, berkata perubahan jadual hujung minggu itu juga akan memberi manfaat kepada belia di Johor yang sebahagian besarnya bekerja di Singapura.
“Adalah penting untuk diingat bahawa Johor bukan seperti negeri-negeri di pantai timur, jiran kita ialah Singapura dan perubahan ini juga akan memberi kesan baik kepada ekonomi kita,” kata Encik Azhar.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Johor, Encik Ivan Teo, menyifatkan perubahan cuti hujung minggu itu sebagai satu langkah positif yang boleh meningkatkan perniagaan tempatan, khususnya di Johor Bahru.
“Dengan hujung minggu kembali kepada Sabtu dan Ahad, kami boleh menjangka peningkatan trafik ketara di Johor Bahru serentak kemasukan dari Singapura. Jadi kita harus bersedia untuk sebarang kesesakan, termasuklah masa menunggu yang lebih lama di restoran,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg