Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemangku Sultan Johor tekad urus aset air bawah kerajaan negeri

Bagi lindungi kepentingan Johor dalam urus sumber air sebagai aset strategik negeri
Aug 1, 2025 | 3:40 PM
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim. - Foto fail

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, menegaskan iltizam beliau dalam memastikan pengurusan aset air negeri diletakkan sepenuhnya di bawah jagaan kerajaan Johor pada masa hadapan, dan bukan diuruskan syarikat yang dilantik Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata langkah itu penting bagi melindungi kepentingan Johor dalam menguruskan sumber air sebagai aset strategik negeri.

“Saya akan pantau dan cuba selesaikan dengan segera. Inilah pentingnya kita jaga air Johor, aset Johor sendiri dan bukan berada di bawah syarikat yang dilantik oleh Persekutuan.

“Doakan kewangan negeri meningkat yang mana kita boleh beli saham air Johor, dan meletakkan air negeri bawah jagaan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi X pada malam 31 Julai.

Beliau turut memaklumkan bahawa masalah gangguan air yang melanda Pontian sejak beberapa hari lalu telah diselesaikan, dengan pelan jangka panjang pengurusan air Johor sudah dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2024.

“Alhamdulillah isu air di Pontian sudah selesai. Namun, pelan jangka masa panjang air Johor sudah dilaksanakan kerajaan negeri dari tahun 2024.

“Saya akan tetap berusaha memastikan pada masa akan datang, air Johor dan aset-aset negeri harus diurus oleh kerajaan negeri dan bukan syarikat yang dipilih oleh Kerajaan Pusat,” tambahnya.

Difahamkan kira-kira 7,000 akaun pengguna yang terjejas mula menerima bekalan air secara berperingkat sejak 1 Ogos selepas kerja penukaran injap selesai dilakukan.

Gangguan bekalan air itu berpunca dari tangki pengimbang yang kekosongan bekalan air dan memerlukan masa bagi mengatasi tekanan udara dalam sistem paip.

Sepanjang tempoh gangguan, lima lori tangki digerakkan sejak 31 Julai bagi membekalkan air ke kawasan terjejas.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail menjawab hantaran akaun BrotherhoodJHR di aplikasi X yang meluahkan rasa kecewa terhadap gangguan air di Pontian yang memasuki hari keempat.

Sementara itu, syarikat konsesi air Ranhill SAJ dalam satu kenyataan di Facebook, memaklumkan bahawa bekalan air ke kawasan terjejas sedang dipulihkan secara berperingkat selepas kegagalan teknikal melibatkan paip bersaiz 750mm di Outlet Tangki Ulu Choh 1, Pontian.

Kerja pembaikan telah selesai sepenuhnya dan sistem agihan air sedang distabilkan bagi memastikan semua kawasan menerima bekalan seperti biasa.

“Sepanjang tempoh pemulihan ini, bantuan bekalan air disalurkan melalui lori tangki bergerak dan tangki statik di lokasi kritikal yang telah dikenal pasti,” kata kenyataan itu pada 1 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg