Topik diikuti
Pergi ke BHkuPembenihan awan akan dilakukan di Lembah Klang bagi tangani jerebu semakin teruk
Prabowo terima tawaran M’sia bantu padam kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan
Pembenihan awan akan dilakukan di Lembah Klang bagi tangani jerebu semakin teruk
PETALING JAYA: Operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Agensi itu berkata operasi tersebut dijadualkan pada 19 dan 20 September.
“Bagaimanapun, operasi tersebut tertakluk kepada keadaan cuaca dan ketersediaan awan yang sesuai untuk proses pembenihan,” kata ketua pengarah agensi itu, Datuk Meor Ismail Meor Akim, dalam satu kenyataan pada 19 September.
Operasi itu akan dijalankan oleh agensi tersebut dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia, Penguasa Penerbangan Awam Malaysia dan Tentera Udara.
Pesawat C-130 Hercules Tentera Udara akan digunakan sebagai aset utama bagi operasi pembenihan awan tersebut.
Dalam pada itu, Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, telah menerima tawaran Malaysia untuk membantu menangani kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan, dan menyatakan bahawa kedua-dua negara berjiran itu mesti terus mengekalkan hubungan persaudaraan yang erat.
Bercakap selepas menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Istana Hambalang, Bogor, pada 18 September, Encik Prabowo berkata Malaysia telah menawarkan sebuah pesawat, tiga helikopter dan 52 anggota pemadam kebakaran.
“Beliau kawan lama, jadi beliau melawat saya dan kami berbincang pelbagai masalah, yang pertama dari pihak Malaysia menawarkan bantuan ingin membantu kami untuk mengatasi kebakaran hutan di Kalimantan,” ujarnya.
Tambahnya, Indonesia juga telah menerima bantuan daripada Jepun dan beberapa negara lain, menyifatkan kebakaran tersebut sebagai masalah yang mengancam nyawa yang impaknya dirasai melangkaui sempadan Indonesia.
“Walaupun ia adalah kebakaran hutan di Indonesia, kesannya dirasakan jiran-jiran kita. Jadi, mereka mahu membantu kita, dan kita menerimanya dengan baik,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik oleh Datuk Zahid di Facebook pada 19 September.
Beliau berkata aset Malaysia akan digerakkan tidak lama lagi, sambil menambah bahawa bantuan serupa pernah diberikan semasa episod jerebu yang lalu.
Encik Prabowo berkata beliau juga sedang melaksanakan langkah untuk mencegah kebakaran daripada berulang pada tahun-tahun akan datang.
Selain isu kebakaran hutan dan tanah gambut, kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan hal dua hala. – Agensi berita.
