Topik diikuti
Pergi ke BHkuPembenihan awan sasar dua kawasan Johor bagi kurangkan jerebu
Pesawat TUDM bawa 8 tan garam bagi rangsang hujan antara Yong Peng dengan Machap; Mersing dengan Kota Tinggi
Pembenihan awan sasar dua kawasan Johor bagi kurangkan jerebu
JOHOR BAHRU: Operasi pembenihan awan dilaksanakan di kawasan antara Yong Peng dengan Machap serta Mersing dengan Kota Tinggi pada 20 Oktober bagi merangsang hujan yang diharap dapat mengurangkan kepekatan jerebu di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata operasi itu menggunakan pesawat, ‘C-130 Hercules’ milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Menurutnya, pesawat tersebut membawa lapan tan natrium klorida, atau garam, sebagai bahan pembenihan awan.
“Bagi Negeri Johor, operasi ini memberikan tumpuan khusus kepada dua kawasan utama, iaitu antara Yong Peng hingga Machap serta Mersing hingga Kota Tinggi.
“Ini bagi merangsang pembentukan hujan yang diharapkan dapat membantu dalam mengurangkan kepekatan partikel jerebu di udara,” katanya dalam kenyataan pada 20 Oktober.
Encik Ling turut menyertai penerbangan bersama pasukan yang melibatkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan No. 20 Skuadron TUDM.
Menurutnya, operasi berkenaan memerlukan perancangan teliti, penyelarasan antara agensi serta keadaan cuaca yang bersesuaian.
“Kerajaan Johor memandang serius isu jerebu yang boleh menjejaskan mutu udara, kesihatan awam serta kesejahteraan rakyat.
“Justeru, kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan langkah sewajarnya diambil untuk menangani keadaan ini,” katanya.
Sementara itu, Nadma memaklumkan bahawa operasi yang diselaraskannya bermula pada 12 tengah hari dan berakhir pada 3.30 petang, dengan membawa empat tangki larutan garam.
Menurut agensi itu, operasi dilaksanakan susulan jerebu berpanjangan dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) bagi bahan pencemar PM2.5 melebihi 170 selama lebih 24 jam di beberapa kawasan.
Kawasan yang dinyatakan termasuk Johor Bahru, Pasir Gudang, Tangkak, Kota Tinggi, Batu Pahat, Yong Peng, Kluang dan Pengerang.
“Pelaksanaan pembenihan awan ini merupakan antara langkah pengurangan risiko bencana yang dilaksanakan secara bersepadu oleh Nadma bersama agensi berkaitan, bagi menangani situasi jerebu serta mengurangkan risiko terhadap kesihatan, keselamatan awam dan kesejahteraan masyarakat,” tambah kenyataan agensi itu.