Topik diikuti
Pergi ke BHkuPembenihan awan terus dilaksana, kurangkan jerebu di Sarawak
ISKANDAR PUTERI: Operasi pembenihan awan akan diteruskan bagi membantu mengurangkan tahap pencemaran udara susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa bahagian di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata dua daerah iaitu Kuching dan Sri Aman merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap sangat tidak sihat pada 6 September.
Beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata keadaan di Serian yang diisytiharkan darurat semalam mula menunjukkan perkembangan positif dengan bacaan IPU semakin menurun.
“Kita harap sempena dengan perayaan Hari Malaysia di Kuching, operasi pembenihan awan dapat menurunkan tahap indeks sebaran udara di negeri Sarawak khususnya.
“Kita juga dinasihatkan MetMalaysia untuk melakukan pembenihan awan ini mengikut luruan angin yang telah saya sebutkan tadi,” katanya lapor Harian Metro.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian selepas merasmikan penutupan Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan Educity di sini pada 6 September.
Berdasarkan bacaan pada jam 9 pagi 6 September, Kuching merekodkan IPU 235, manakala Sri Aman pula 214, masing-masing pada tahap sangat tidak sihat.
Serian pula merekodkan bacaan IPU 184, menunjukkan penurunan berbanding bacaan sebelumnya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Nadma, Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, pembenihan awan di seluruh Sarawak sedang dilakukan sehingga 7 September bagi mengurangkan masalah jerebu yang melanda negeri berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 4 September memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri dan Premier Sarawak serta agensi-agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.
