JOHOR BAHRU: Ahli keluarga Allahyarham Misnan Ahmad, 60 tahun, yang meninggal dunia di tanah suci pada 31 Mei, seakan dapat ‘merasa’ petanda awal pemergiannya menerusi tingkah laku dan pesanan terakhir arwah.
Anak lelakinya, Encik Mohamad Hazrul Haqiz Misnan, 30 tahun, berkata, hasrat bapanya yang merupakan pegawai khas kepada Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Encik Mohd Hairi Mad Shahnya untuk menunaikan haji sangat kuat, malah segala persiapan dilakukan dalam kadar segera seolah-olah tidak mahu bertangguh.
“Saya dapat tahu sebenarnya yang sepatutnya pergi haji itu ialah Yang Berhormat (YB) Exco tapi bila tak jadi pergi, beliau beri tempat itu kepada mak dan abah.
“Abah memang sangat teruja, terus ke Lembaga Tabung Haji (TH) dan selesaikan semuanya dengan segera. Alhamdulillah, nama terus ada dalam senarai. Abah memang minta nak pergi sangat,” katanya kepada Sinar Harian pada 1 Jun.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dilapor berkata Encik Misnan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital King Abdulaziz, Makkah pada 31 Mei.
Katanya, Allahyarham merupakan jemaah daripada penerbangan KT 46 dan menginap di Maktab 90B, Bangunan Diary AlSaad.
Dalam pada itu, Encik Mohamad Hazrul Haqiz turut menceritakan kejadian pada awal pagi sebelum berangkat, arwah bapanya juga meminta pengerusi surau melaungkan azan Subuh walaupun bilal belum tiba.
“Kami sekeluarga bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kira-kira 6.30 pagi kerana waktu lapor diri adalah pada 8.30 pagi, manakala penerbangan pula dijadualkan pada 11 pagi.
“Abah pun ada pesan, ‘Ziq nanti kau jaga kakak, mak, adik-beradik semua’. Dia selalu cakap, ‘kau anak sulung lelaki’. Sebelum dia pergi pun, saya dah rasa sesuatu sebab (selain pesanan) dia nak semua benda siap cepat,” katanya.
Tambahnya lagi, perbualan terakhir bersama arwah dilakukan menerusi panggilan video sekitar 10.20 malam waktu tempatan pada 30 Mei.
“Masa tu abah nampak okey, kami lega sebab dia dah keluar dari unit rawatan rapi dan ditempatkan ke wad biasa.
“Dia boleh berbual semua, tapi sekitar 4 petang waktu tempatan, kami terima berita abah sudah tiada. Kami reda, Allah lebih sayangkan dia,” ujarnya.
Allahyarham Misnan meninggalkan seorang balu, Cik Siti Hawa Safar, 54 tahun, serta enam anak berusia antara 20 dengan 34 tahun dan dua cucu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg