Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemergian Tun Dr Siti Hasmah kehilangan besar buat M’sia
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah kehilangan besar buat M’sia
JOHOR BAHRU: Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali disifatkan sebagai kehilangan besar kepada negara, dengan jasa dan sumbangannya dalam bidang perubatan serta kebajikan masyarakat akan terus dikenang.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamha dan berharap mereka diberikan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.
“Pemergian Allahyarhamha merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja buat keluarga, malah buat negara yang akan sentiasa mengenang jasa, bakti dan sumbangan beliau sepanjang hayat.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi saat yang amat mendukacitakan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 September.
Datuk Onn Hafiz turut mengajak rakyat Johor bersama-sama mendoakan kesejahteraan Allahyarhamha.
Tun Dr Siti Hasmah, isteri mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada pagi 28 September pada usia 100 tahun.
Sementara itu, Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali, mengenang Allahyarhamha sebagai tokoh yang mencurahkan sebahagian besar kehidupannya kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Salam takziah buat Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anak serta seluruh keluarga Allahyarhamha atas pemergian insan yang telah memberikan begitu banyak jasa kepada negara.
“Semoga segala bakti, ilmu dan khidmat Allahyarhamah kepada masyarakat menjadi amal jariah yang terus mengalir pahalanya,” katanya dalam kenyataan berasingan pada hari sama.
Menurut Encik Sheikh Umar, Allahyarhamha merupakan antara wanita Melayu terawal yang mengikuti pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, sebelum menamatkan pengajian pada 1955 dan menyertai perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Beliau berkata khidmat Allahyarhamha dalam kesihatan awam turut merangkumi penjagaan ibu dan kanak-kanak, pencegahan penyakit serta pendidikan kesihatan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.