Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahathir, isteri cipta rekod mantan PM, pasangan tertua Asean, Asia
Tiga rekod rasmi oleh Rekod Asean dan Rekod Asia iktiraf usia panjang, status unik mantan PM, isteri
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mencipta sejarah tersendiri apabila menerima tiga rekod rasmi oleh Rekod Asean dan Rekod Asia, yang mengiktiraf usia panjang dan status unik mereka.
Menerusi pencapaian itu, Dr Mahathir diiktiraf sebagai mantan Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup dan Dr Siti Hasmah sebagai Pasangan Mantan Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup, kedua-duanya di bawah Rekod Asean.
Rekod ketiga yang dianugerahkan secara bersama di bawah Rekod Asia pula mengiktiraf pasangan itu sebagai Pasangan Mantan Ketua Kerajaan dan Pasangan Pertama yang kedua-duanya mencapai usia 100 tahun atau ‘Centenarian’.
Pengiktirafan itu bertepatan dengan beberapa detik penting bagi pasangan berkenaan, termasuk ulang tahun ke-101 Dr Mahathir pada 10 Julai lalu, ulang tahun ke-100 Dr Siti Hasmah pada 12 Julai serta ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-70 pada 5 Ogos.
Pengiktirafan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Rekod Asean, Tan Sri Danny Ooi, dengan diiringi Ketua Penilai, Cik Gillian Ooi, dan Encik Eldrick Koh, yang juga Pengarah Rekod Asean dan Rekod Asia dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Pasukan penilai mengesahkan bahawa tiada pencapaian setara yang didokumentasikan secara terbuka di rantau Asean dan pasaran utama Asia.
Dr Mahathir sebelum ini juga pernah melakar sejarah sebagai satu-satunya pemimpin di Malaysia yang memegang jawatan Ketua Kerajaan dua kali iaitu sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat (1981-2003) dan ketujuh (2018-2020).
Malah Dr Mahathir, yang turut menjadi Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat iaitu 22 tahun, juga diiktiraf sebagai pemimpin dan Perdana Menteri tertua di dunia ketika menerajui pentadbiran kerajaan buat kali kedua iaitu pada usia 92 tahun.
Untuk rekod, Dr Mahathir mendirikan rumah tangga bersama Dr Siti Hasmah pada 5 Ogos 1956.
