KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan (DNA) Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut (Kuala Lumpur), Adam Radlan Adam Muhammad, daripada 12 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.
Mahkamah memberikan DNA tersebut terhadap Adam Radlan pada 20 Ogos selepas dia membayar kompaun RM4.1 juta ($1.24 juta).
Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Cik Farah Yasmin Salleh, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima representasi yang dikemukakan Adam Radlan pada 3 Jun lalu.
“Mahkamah memutuskan bahawa tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kesemua tuduhan memandangkan pihak pendakwaan telah menarik balik semua tuduhan itu dan tidak berniat untuk meneruskan kes ini lagi,” katanya, lapor Astro Awani.
Terdahulu Cik Farah Yasmin berkata representasi tersebut telah diterima dan pihak SPRM bersetuju dengan cadangan kompaun RM4.1 juta dibayar Adam Radlan di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Oleh itu pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) memandangkan pendakwaan telah bersetuju untuk menarik balik semua tuduhan yang dipertuduhkan ke atas tertuduh,” katanya.
Namun peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan, 44 tahun, memohon perintah agar anak guamnya diberi DNA, berikutan pihak pendakwaan telah menarik balik kesemua tuduhan yang dihadapi Adam Radlan.
Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mohamad Fadhly Mohd Zamry, pula berkata Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan bahawa apabila pihak pendakwa raya memohon sesuatu kes ditarik balik, maka satu perintah DNAA hendaklah diberikan kepada tertuduh.
“Bagaimanapun keputusan adalah terserah kepada pihak mahkamah,” katanya semasa sebutan kes bagi keputusan representasi.
Perbicaraan kes itu telah bermula pada 9 Julai 2024 dengan 11 saksi pendakwaan sudah pun memberi keterangan.
Adam Radlan turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis, daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Adam Radlan juga menghadapi tiga tuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah tertuduh membantu Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.
Adam Radlan turut berdepan tujuh tuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta, yang kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor, antara Mac 2021 hingga Januari 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg