Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pempengaruh, isteri dituduh salah guna wang infak RM1.53j

Sep 23, 2024 | 2:21 PM
Pasangan pempengaruh Malaysia, Alif Teega (depan) dan isteri, Aisyah Hijanah (belakang) mengaku tidak bersalah atas 10 tuduhan salah guna wang infak lebih RM1.53 juta di Mahkamah Shah Alam, Selangor, pada 23 September.
Pasangan pempengaruh Malaysia, Alif Teega (depan) dan isteri, Aisyah Hijanah (belakang) mengaku tidak bersalah atas 10 tuduhan salah guna wang infak lebih RM1.53 juta di Mahkamah Shah Alam, Selangor, pada 23 September. - Foto HARIAN METRO

SHAH ALAM (Selangor): Suami isteri pempengaruh Malaysia, Alif Teega dan Aisyah Hijanah, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, pada 23 September atas 10 tuduhan salah guna wang infak lebih RM1.53 juta ($470,370) sejak 2021.

Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30 tahun, dan Aisyah Hijanah Azhari, 26 tahun, membuat pengakuan itu sebaik tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut tuduhan pertama hingga ke-10, pasangan kontroversi itu didakwa mencapai niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM1,526,372.16 juta.

Wang derma itu antaranya untuk projek infak kurma, al-Quran dan makanan bagi fakir miskin di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Al-Nabawi, Madinah; infak bantuan dan sedekah set pakaian untuk mangsa banjir; sedekah set pakaian raya untuk anak-anak yatim serta sedekah ibadah korban di Makkah, lapor Harian Metro.

Jumlah paling besar didakwa disalah guna adalah RM425,890.64 iaitu bagi tujuan infak bantuan mangsa banjir, sementara paling rendah pula adalah RM438.38 iaitu bantuan set pakaian muslimah untuk bantuan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mei 2021 hingga Julai 2024.

Hukuman jika sabit kesalahan adalah penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Hakim Awang Kerisnada kemudian menetapkan Alif dan Aisyah masing-masing diikat jamin RM50,000 berserta syarat tambahan.

Kededuanya perlu melapor diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan dan tertuduh kedua (Aisyah) dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 November depan untuk sebutan semula dan pengurusan kes.

Pada 20 September lalu, Alif yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan salah guna harta bagi program infak iftar di Makkah, Syria dan Palestin serta ibadah korban berjumlah RM63,605.48 pada April serta Jun 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg