Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes pempengaruh: SPRM beku 20 akaun bernilai RM740,000

Jul 16, 2024 | 1:31 PM
Pasangan pempengaruh media sosial di Malaysia, Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30 tahun, atau lebih dikenali sebagai Alif Teega (depan) dan isterinya Aisyah Hijanah (kiri) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan penyelewengan dana derma awam.
Pasangan pempengaruh media sosial di Malaysia, Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30 tahun, atau lebih dikenali sebagai Alif Teega (depan) dan isterinya Aisyah Hijanah (kiri) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan penyelewengan dana derma awam. - Foto MSTAR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan kira-kira 20 akaun bank membabitkan nilai lebih RM740,000 ($212,689), susulan siasatan penyelewengan dana derma awam membabitkan pasangan pempengaruh media sosial, bersama dua lagi individu.

Beberapa akaun yang dibekukan itu dimiliki pasangan suami isteri terbabit, Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30 tahun, atau lebih dikenali sebagai Alif Teega dan isterinya Aisyah Hijanah, serta syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan derma dalam talian.

“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) telah menyita dan membekukan hampir 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan dijalankan.

“Kemungkinan akan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM,” kata satu sumber, lapor Berita Harian Malaysia.

Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan pembekuan beberapa akaun milik individu serta syarikat susulan siasatan SPRM terhadap pasangan pempengaruh terbabit.

Beliau berkata sitaan dan pembekuan akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Penahanan pasangan suami isteri usahawan itu yang popular di media sosial dengan motivasi Islamik menarik perhatian ramai, susulan siasatan awal SPRM mendapati mereka disyaki menyeleweng dana derma awam dan dipercayai sudah mengutip sumbangan dianggarkan mencecah RM3 juta sejak 2020.

Suami isteri yang memiliki tiga anak itu kini dalam tahanan reman SPRM sejak 11 Julai, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Sebelum ini, timbul tanda tanya berhubung dakwaan tular di media sosial mengenai pempengaruh itu yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan peratusan tinggi.

Mereka juga didakwa hidup dalam kemewahan berdasarkan perkongsian di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya awam.

Pasangan itu menjalankan kegiatan kutipan derma di sebuah wadah dalam talian dan setakat ini dilaporkan gagal mengemukakan bukti mencukupi untuk transaksi sumbangan yang didakwa telah disalurkan bagi tujuan kebajikan dan membantu golongan memerlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg