Topik diikuti
Pergi ke BHkuPempengaruh M’sia diingat elak jadikan ritual agama bahan kandungan media sosial
Pempengaruh M’sia diingat elak jadikan ritual agama bahan kandungan media sosial
KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial di Malaysia diingatkan agar tidak mengeksploitasi isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R), khususnya ritual keagamaan sebagai bahan kandungan demi memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Timbalan Menteri Perpaduan Malaysia, Encik R Yuneswaran, berkata pempengaruh yang mempunyai ramai pengikut perlu lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan kandungan serta menyebarkan nilai positif kepada masyarakat, bukannya memainkan sentimen 3R.
“Kalau boleh, jauhkan perkara-perkara yang melibatkan 3R. Ini kerana pempengaruh mungkin tidak tahu tentang ritual agama atau adat kaum tertentu, lebih-lebih lagi kalau anda bukan penganut agama berkenaan.
“Kita mempunyai banyak perkara positif yang boleh dipromosikan bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN),” katanya ketika hadir semasa program, Ruang Bicara, terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, lapor laman web, Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular membabitkan seorang pempengaruh yang dipercayai terlibat dalam upacara keagamaan semasa perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.
Encik Yuneswaran berkata kementerian memandang serius isu membabitkan ritual keagamaan itu dan berharap ia ditangani secara berhemah, selain menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa agama serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut menggesa masyarakat agar tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman atau mempolitikkan isu berkenaan, sebaliknya memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Selain itu, beliau mempelawa pempengaruh media sosial untuk bekerjasama dengan KPN dalam mempromosikan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Program Negara Bangsa.
“Di bawah KPN, kami menyarankan supaya perkara-perkara ini (3R) dielakkan.
“Walaupun masyarakat terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum, kita boleh menghadiri pelbagai upacara, majlis dan sambutan namun, apabila melibatkan ritual, saya berharap perkara itu dihormati,” katanya.
Pada 12 Oktober, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan telah memulakan siasatan berhubung hantaran tular membabitkan seorang individu yang juga pempengaruh media sosial di Malaysia.
Lelaki tersebut yang dipercayai beragama Islam didakwa menyertai ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak.
Dalam beberapa video yang tular di media sosial, pempengaruh itu yang dikatakan berusia 21 tahun didakwa mengamalkan pelbagai ritual keagamaan, ramalan kad Tarot dan kepercayaan spiritual lain termasuk ajaran New Age Movement (NAM) dan menggemparkan masyarakat.
Pendedahan itu dibuat satu per satu menerusi hantaran Facebook yang menggunakan nama akaun ‘Masyitah Ashari’ baru-baru ini.
Menerusi hantaran berkenaan, individu terbabit didakwa dilahirkan sebagai Muslim dan berasal daripada keluarga Melayu.
Menurut hantaran di Facebook berkenaan, pemuda itu dikatakan telah merantau ke pelbagai negara dan terlibat melakukan pelbagai ritual keagamaan, malah mengaku dirinya seorang pawang, boleh jampi pesakit menggunakan mantera Siam dan kononnya berupaya merukyah dengan zikir.