KUANTAN: Seorang pempengaruh gaya hidup TikTok maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran TMG Mall Bandar Putra pada awal pagi 3 Januari.
Dalam nahas kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Cik Nurul Athira Auni Mohamad Hafizzan, 21 tahun, yang menetap di Tanah Putih Baru disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata seorang lagi penunggang, Encik Muhammad A’kid Rahman Salahudin, 20 tahun, dilaporkan cedera di bahagian tangan, siku dan paha.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua penunggang terbabit dalam perjalanan dari arah Tanjung Lumpur menuju ke Bandar Kuantan, lapor laman Sinar Harian.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa mangsa sedang bergerak lurus di lorong kanan, secara tiba-tiba sebuah motosikal ditunggang pelajar sebuah politeknik dari arah belakang telah merempuhnya.
“Pelanggaran itu dipercayai berlaku ketika penunggang terbabit cuba mengelak motosikal mangsa ke kiri.
“Pada masa sama, mangsa juga mengelak arah sama hingga berlaku perlanggaran,” katanya.
Ashari berkata akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambah beliau, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.
“Mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Cik Athira Auni dikenali sering berkongsi ‘live’ di Tiktok menjadi penebar roti canai di warung ayahnya.
“Dia dah pergi untuk selamanya… Pak cik hanya boleh tengok baju dia, gambar dia,” jelas bapanya, Encik Mohamad Hafizzan, dengan nada sebak, tukil laman Kosmo! Online.
Di akaun TikTok miliknya, @mohdhafizzan7, beliau yang bersembang secara ‘live’ juga merayu orang ramai memadam sebarang gambar arwah yang boleh mengundang fitnah, khususnya foto yang tidak menutup aurat.
“Kalau siapa ada gambar-gambar arwah atau yang tersimpan, tolong padam ya. Sebab orang yang dah pergi ni kita takut jadi fitnah. Tolong kalau ada gambar-gambar tak tutup aurat, tolong padam…,” katanya.
Pemergian pempengaruh itu meninggalkan kesan yang besar kepada pengguna media sosial kerana Allahyarhamha disifatkan sebagai seorang anak yang rajin dan sering membantu ayahnya menebar roti canai ketika bersiaran langsung.
“Bila tengok ayah Allahyarhamha ni sebak betul rasa. Sebelum ni Allahyarhamha yang ambil alih tolong ayah dia tebar roti canai sekarang sunyi sayu je.
“Kenal dekat TikTok sahaja tapi baik dan lemah lembut sangat cara dia bercakap terasa sangat pemergian dia. Orang baik Allah sayang Al-Fatihah,” komen Ieka.
Berdasarkan video seorang saksi di lokasi kejadian yang dimuat naik di akaun TikTok @denikiqm5rz, wanita itu memberitahu sebelum kejadian terdapat sekumpulan penunggang motosikal didakwa sedang berlumba.
Katanya, beliau melihat salah seorang penunggang merempuh motosikal dinaiki Cik Athira sebelum bunyi berdentum kuat dan Allahyarhamha terseret jauh ke depan.
“Bila dah terseret jauh, saya cepat-cepat pergi dekat dia. Saya tak tahu dia dah tiada waktu itu. Saya panggil nama dia ‘Auni, Auni’ sambil tepuk bahu dia.
“Masa tu nampak tangan dia bergerak lagi, nampak masih bernafas pakai mulut, mungkin tengah mengucap. Kemudian abang polis kata Athira sudah tiada sebab tangan dah sejuk. Saya terus meraung,” katanya, yang merupakan teman Cik Athira.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg