Semangat dan pengorbanan Allahyarham Darimosuvito Tokijan terhadap bola sepak kekal membara dalam diri, meskipun bergelut dengan penyakit kronik ketika hayatnya.
Bahkan, Allahyarham – yang dikenali sebagai D. Tokijan – tetap mengadakan sesi latihan dan aktif menyumbang tenaga dalam arena sukan itu, sungguhpun sosok tubuhnya semakin menyusut sejak enam bulan lalu, kata anak tunggalnya, Encik Muhammad Ridzuan Tokijan.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) melalui panggilan telefon pada 23 Disember, Encik Ridzuan berkata meskipun bapanya menghidap komplikasi kesihatan yang telah didiagnos sekitar September lalu, Allahyarham tetap dengan tugasnya sebagai jurulatih bagi Sekolah Menengah Regent, Sekolah Rendah Unity dan Akademi Bola Sepak ActiveSG (AFA).
Bapa dua orang anak berusia 35 tahun itu berkata: “Jadual arwah amat padat. Setiap minggu, ayah menggiatkan diri dalam sesi latihan bola sepak untuk melatih anak didiknya, di samping sesi latihan (sebagai jurulatih) bola sepak pada Sabtu dan Ahad.”
Oleh demikian, beliau menyifatkan bola sepak seakan nadi bagi Allahyarham sehingga hujung hayatnya.
Beliau berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) sekitar 3.45 pagi pada 23 Disember setelah dimasukkan ke hospital seminggu lalu akibat sesak nafas.
BH difahamkan bahawa Allahyarham D. Tokijan menghidap barah. Namun, Encik Ridzuan enggan mendedahkan jenis barah yang dihidapi ayahnya.
Jenazah arwah selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 11 pagi pada 23 Disember dengan dihadiri ratusan anggota keluarga, saudara-mara dan sahabat handai – termasuk bekas pemain kebangsaan dan jurulatih bola sepak.
Allahyarham merupakan bekas penyerang dan pemain sayap skuad Singa dari 1983 hingga 1992. Beliau pernah menyarung jersi kelab tempatan seperti Balestier Central, yang kini dikenali sebagai Balestier Khalsa, dan menggalas jawatan pembantu jurulatih kelab Tanjong Pagar pada 2013.
Allahyarham terkenal dengan kelincahannya di sayap kiri padang dalam menewaskan pemain pertahanan pasukan lawan dan membuat hantaran lintang tepat ke dalam kotak penalti melalui kaki kidalnya.
Malah Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam catatan belasungkawa di Facebook pada 23 Disember, menyifatkan arwah sebagai “pemain sayap kiri yang prolifik”.
“(Allahyarham) D. Tokijan mewakili Singapura dari 1983 hingga 1992, termasuk Piala Asia 1984, dengan 23 penampilan dan 11 gol.
“Beliau dikenang antaranya kerana sepakan kencang semasa menjaringkan gol menentang Kelantan di Piala Malaysia 1991, sekali gus membantu Singapura meraih kemenangan 7-0,” tambah FAS.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, dalam satu catatan Facebook berkata beliau membesar dengan menonton kelincahan Allahyarham di sayap kiri dan menyifatkan arwah sebagai salah seorang pemain unggul bola sepak Singapura.
“Pemain yang senyap tapi handal di bahagian sayap kiri, nama arwah berdiri setaraf dengan nama-nama unggul bola sepak Singapura.
“(Nama beliau) berada di atas padang dalam era kegemilangan bola sepak (Singapura) bersama Fandi Ahmad, K. Kanan, Malek Awab, Hasnim Haron, David Lee, T. Pathmanathan dan V. Sundramoorthy,” ujarnya.
Bagi Encik Kadir Yahaya pula, beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tidak banyak bercakap tetapi berwawasan tinggi.
Beliau merupakan antara bekas pemain kebangsaan yang hadir di Pusara Aman bagi memberi penghormatan terakhirnya kepada arwah.
“Arwah seorang yang sangat berdedikasi. Tak banyak berbual tetapi beliau berlatih dengan gigih.
“Inilah nilai yang memberi kesan kepada pemain muda. Beliau juga jarang menimbulkan masalah,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg