Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengarah bersama TravelConnect.sg meninggal dunia selepas lawan lupus, penyakit ginjal

Jan 3, 2026 | 7:07 PM
meninggal dunia, Travelconnect
Gambar kenangan pasangan Ustaz Mohamed Nafis Abdul Rahman dan Allahyarhamha Ustazah Siti Zariyah Mohd Zain yang dipetik bersama sekitar dua minggu lalu. - Foto ihsan MOHAMED NAFIS ABDUL RAHMAN

Walaupun menghidap penyakit autoimun kronik, Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau lupus, sejak usia 21 tahun dan kemudian masalah ginjal, Allahyarhamha Ustazah Siti Zariyah Mohd Zain tidak pernah membiarkan keadaan kesihatannya menjadi penghalang dalam menjalani kehidupan seperti biasa.

Meskipun adakalanya kesakitan, semangatnya yang kuat mendorong beliau untuk terus mengajar kelas umrah khusus untuk wanita dan fardu ain di samping menguruskan perniagaan agensi pelancongan, TravelConnect.sg, bersama suaminya.

Bahkan, anak ketiga dalam empat beradik itu jarang berbicara tentang penyakit yang ditanggungnya, sebaliknya sentiasa ceria apabila melayan para pelajar dan kakitangannya di pejabat, kenang suaminya, Ustaz Mohamed Nafis Abdul Rahman, 39 tahun.

Allahyarhamha Ustazah Siti Zariyah menghembuskan nafas terakhir pada 2 Januari sekitar jam 2 petang ketika sedang menunaikan solat Zohor di rumah mereka di Kovan. Beliau berusia 39 tahun.

Awal dari itu, beliau dimasukkan ke hospital pada Oktober sehingga Disember sebelum memutuskan untuk menerima rawatan paliatif di rumah ekoran jantungnya yang semakin lemah sehingga tidak dapat lagi menjalani rawatan dialisis yang dilakukan sejak 2014, menurut Ustaz Nafis semasa dihubungi Berita Harian (BH).

Penyakit lupus arwah telah menjejas organ utama tubuhnya, termasuk jantung, tulang dan buah pinggangnya yang mengalami kerosakan di tahap akhir.

Menurut Ustaz Nafis, keperibadian isterinya itu yang tegas dalam pelaksanaan kerja, tetapi pada masa yang sama, penyayang dan sangat mengambil berat, menjadi inspirasi bagi beliau.

“Pendirian beliau sangat kuat. Beliau sentiasa merasakan ada orang lain yang lebih sakit daripada dirinya dan masih mampu menempuhnya, maka beliau juga yakin mampu melakukannya.

“Beliau adalah penyeri kehidupan saya setiap hari dan penyuntik semangat serta pembuka mata saya untuk tidak berputus asa dalam kehidupan,” kongsi beliau yang mendirikan rumah tangga pada 2012 dan tidak mempunyai cahaya mata.

Komitmennya untuk menguruskan perniagaan keluarga tidak pernah luntur demi memastikan keperluan pelanggan mahupun masyarakat umum terus terjaga.

“Sebagai salah seorang pengarah syarikat, beliau sentiasa bersama saya menyelaraskan, mengatur, dan memastikan semua urusan berkaitan ibadah umrah dalam syarikat berjalan teratur.

“Beliau juga bersama saya memastikan urusan bersama para pegawai dan sukarelawan sentiasa terpelihara dari segi pengurusan, kebajikan, serta kelancaran pelaksanaan tugas,” tambahnya.

Pemergian Allahyarhamha turut dikenang oleh anggota masyarakat lain.

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) telah menyampaikan ucapan takziah ke atas pemergiannya dalam hantaran media sosial.

Jenazah Allahyarhamha selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 6.30 petang, pada 2 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg