AYER KEROH: Kerajaan Perpaduan kini diuji oleh pihak yang didakwa mengamalkan politik ‘talam dua muka’ dan meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat serta negara.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Muhammad Kamil Abdul Munim, yang membuat kenyataan itu, mendakwa pihak tertentu ‘berselingkuh secara terbuka’ ketika kepimpinan negara sedang berusaha membina semula keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap pentadbiran Malaysia.

“Politik curang sebeginilah yang membantutkan agenda reformasi dan usaha untuk memperkukuhkan kerajaan,” katanya, ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, pada malam 13 Ogos.

Encik Muhammad Kamil berkata sikap pihak tertentu, yang didakwa terlalu ghairah mengejar kepentingan politik sendiri sehingga mengatasi kepentingan rakyat dan negara, tidak wajar dipandang ringan.

Bagaimanapun, katanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, masih menunjukkan jiwa besar dengan terus menjalankan tanggungjawab dan tampil di hadapan rakyat demi menjaga maruah perjuangan serta kestabilan negara.

“Tatkala dada kita dipasak sembilu dan ditikam bukan saja dari belakang dan hadapan, Datuk Anwar masih berjiwa besar serta terus mengukir senyuman di hadapan rakyat demi menjaga maruah perjuangan dan kestabilan negara.

“Keadaan itu seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak mengutamakan percaturan politik sehingga mengganggu agenda reformasi dan kestabilan pentadbiran,” katanya, lapor Harian Metro.

Dalam pada itu, Encik Muhammad Kamil berkata kekalahan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, adalah isyarat bahawa sebahagian rakyat belum yakin dengan politik dibawa gabungan itu.

Menurut beliau, politik dibawa PH dilihat masih belum memahami kebimbangan dan belum mampu memberi jawapan meyakinkan terhadap keresahan yang dibangkitkan rakyat.

Justeru, katanya, rakyat tidak wajar dipersalahkan kerana membuat pilihan yang tidak memihak kepada PH.

“Dalam demokrasi, rakyat berhak memilih berdasarkan pengalaman, pertimbangan, kebimbangan dan harapan mereka sendiri.

“Tugas kita bukan mempertikaikan kebijaksanaan mereka, tetapi memahami sebab di sebalik pilihan itu dan mencari jalan meraih kembali kepercayaan mereka,” katanya.

Encik Muhammad Kamil berkata politik prestasi saja belum tentu mencukupi untuk mengatasi politik identiti dan politik ketakutan yang cuba dibawa pihak lawan.

“Sebahagian lawan politik kita berjaya membina naratif mudah difahami serta mudah menyentuh emosi bahawa Melayu dan Islam sedang terancam, kuasa Melayu sedang hilang, dan masa depan bangsa sedang dipertaruhkan,” katanya.