Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan ke-16, serta kegagalan kesemua 22 calon Melayu daripada gabungan itu memenangi kerusi ditandingi pada PRN Negeri Sembilan meletakkan PH dalam keadaan serius, tetapi belum boleh dianggap sebagai kemerosotan atau keruntuhan menyeluruh, kata penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub. - Foto LAMAN WEB UNIVERSITI MALAYA

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik di Universiti Malaya (UM) itu berkata gabungan politik pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu perlu melakukan muhasabah secara jujur untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap PH terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan bukan sekadar menyalahkan politik identiti atau propaganda lawan.

“Keputusan PRN Negeri Sembilan menunjukkan formula, naratif dan strategi PH yang pernah berkesan sebelum ini semakin kehilangan daya tarikan, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan pengundi di kawasan separa bandar serta luar bandar.

“Lebih membimbangkan, kekalahan berlaku di negeri yang ditadbir PH selama dua penggal. Ini bermakna kelebihan sebagai kerajaan negeri, rekod pentadbiran dan penampilan calon berprofil tinggi tidak lagi mencukupi untuk menjamin kemenangan.

“Sekiranya pola ini berterusan, maka PH akan menghadapi laluan sukar dalam PRU16,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Lebih kritikal, kata Dr Mohammad Tawfiq ialah kegagalan kesemua 22 calon Melayu PH memenangi kerusi.

“PH kini memasuki DUN Negeri Sembilan tanpa seorang pun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melayu, dengan sembilan kerusi dimenangi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan dua oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala Parti Amanah Negara (Amanah) gagal memenangi sebarang kerusi.

“Keputusan ini memberi petunjuk bahawa PH sedang berhadapan krisis perwakilan dan kepercayaan dalam kalangan pengundi Melayu. PKR dan Amanah yang sepatutnya menjadi jambatan PH kepada pengundi Melayu gagal memainkan peranan tersebut,” katanya.

Namun, menurut Dr Mohammad Tawfik, kekalahan tersebut bukan bermakna seluruh rakyat telah menolak PH kerana gabungan itu masih memperoleh sekitar 40 peratus undi popular dan menjadi blok tunggal yang meraih undi paling banyak.

“Masalah utamanya ialah undi itu tidak tersebar secara strategik sehingga dapat diterjemahkan kepada kemenangan kerusi,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, PH ditumbangkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang buat julung kali membentuk persefahaman dalam pilihan raya menerusi pembahagian kerusi bagi mengelakkan pertembungan dan pecah undi.

Kerjasama itu berhasil memberi kemenangan kepada BN-PN yang memenangi 25 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk Kerajaan Negeri.

PH yang bertanding di semua 36 kerusi DUN hanya memenangi 11 kerusi, merosot berbanding 17 kerusi pada PRN 2023.

Justeru Dr Mohammad Tawfik melihat PH perlu segera memulihkan keyakinan rakyat terhadap gabungan itu menerusi prestasi kerajaan dan melalui penyelesaian yang dapat dirasakan dalam isu kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan dan perkhidmatan awam.

“Kedua, PH perlu membina semula jaringan akar umbi, khususnya di kawasan Melayu, Felda, luar bandar dan separa bandar. Kehadiran pemimpin ketika musim pilihan raya sahaja tidak mencukupi.

“Ketiga, parti komponen PH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) mesti melahirkan tokoh Melayu yang mempunyai pengaruh tempatan, kredibiliti dan hubungan berterusan dengan masyarakat.

“Keempat komunikasi PH perlu lebih mudah, konsisten dan dekat dengan kehidupan rakyat. Bagi saya kejayaan pelaburan atau angka ekonomi tidak akan memberi kesan politik sekiranya rakyat tidak merasakan perubahan dalam kehidupan harian mereka.

“Rakyat hari ini lebih cenderung kepada ‘politik perut’ iaitu mereka akan menyokong parti yang menjaga kehidupan mereka lebih selesa dari segi gaji, harga barang murah, rumah murah dan kos sara hidup yang tidak membebankan,” katanya.

Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cik Shahidah Abdul Razak.
Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cik Shahidah Abdul Razak. - Foto SHAHIDAH ABDUL RAZAK

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cik Shahidah Abdul Razak, berkata PH perlu menukar pendekatan kepada strategi yang lebih terangkum dan lebih objektif untuk terus relevan sebagai gabungan politik yang mendapat kepercayaan rakyat.

“Kekuatan perlu diberikan kepada mencari penyelesaian yang lebih inklusif dan bagaimana PH boleh menjadi pengantara dan wakil rakyat yang mewakili semua kaum. Dalam menangani isu semasa juga, PH perlu lebih neutral dan lebih sensitif,” katanya kepada BH.

Beliau juga tidak menolak persepsi bahawa menyokong Melayu PH itu bermakna menyokong pemimpin berwatak liberal, sering dikaitkan dengan gabungan itu.

Justeru parti yang berlatarbelakangkan Melayu seperti BN-PN akan menjadi pilihan utama masyarakat Melayu yang mempunyai objektif yang sama.

“Kekalahan PH di PRN Negeri Sembilan dipengaruhi oleh beberapa faktor yang jelas memerlukan perhatian kepimpinan parti ini.

“Beberapa faktor seperti gelombang biru yang terhasil dari kejayaan BN untuk mempertahan kerajaan negeri Johor mampu sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi.

“Strategi jajaran politik baru penyatuan bangsa di Negeri Sembilan telah dapat menandingi pengaruh PH,” katanya.

Beliau juga melihat kekalahan 22 calon Melayu PH dalam PRN Negeri Sembilan berpunca daripada alternatif daripada gabungan BN-PN yang dilihat mampu memenuhi tuntutan majoriti Melayu di Negeri Sembilan.

“Gabungan parti ini mungkin dilihat lebih memahami denyut nadi masyarakat setempat yang majoritinya di kawasan sederhana,” katanya.