KUALA LUMPUR: Sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak parti itu segera mengisytiharkan pendirian rasmi berhubung isu pembebasan penuh mantan Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, susulan kenyataan terbaharu Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, Encik Asheeq Ali Sethi Alivi, menegaskan pendirian yang jelas mesti diumumkan segera, setelah Datuk Ahmad Zahid kembali membangkitkan isu pengampunan diraja untuk Encik Najib.

Encik Asheeq turut mengingatkan kepimpinan PKR, khususnya Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan pengorbanan anak muda dalam gerakan menentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan Encik Najib sebelum ini.

“Sebagai bekas aktivis mahasiswa yang pernah berdiri di barisan hadapan gerakan #TangkapMO1 sedekad yang lalu, saya ingin mengingatkan pucuk pimpinan PKR tentang harga yang telah dibayar oleh anak muda demi menentang skandal 1MDB ketika itu.

“Sepuluh tahun yang lalu, rakan-rakan dan saya mempertaruhkan pendidikan kami, malah saya sendiri digantung semester.

“Kami dicerca sebagai ‘keldai politik pembangkang’ dan pada masa itu, Datuk Anwar dan ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut menyokong dan bersama kami.

“Kini, kami menuntut pucuk pimpinan PKR menyatakan pendirian rasmi parti berhubung isu ini,” ujarnya, seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Pada 2 Mei lalu, Datuk Ahmad Zahid, secara terbuka merayu agar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mempertimbangkan pengampunan terhadap Encik Najib.

“Insya-Allah janji di dewan ini. Kita memohon kepada Agong, agar dengarlah rayuan dan rintihan seluruh ahli Umno agar Datuk Seri Najib dapat bersama-sama semula dengan kita,” kata Datuk Ahmad Zahid, ketika berucap pada Konvensyen Umno sempena ulang tahun ke-80 parti itu, pada 2 Mei lalu.

Encik Asheeq yang juga seorang peguam berkata ucapan Timbalan Perdana Menteri itu memberi gambaran seolah-olah Encik Najib berpotensi dibebaskan dalam masa terdekat.

“Setelah lebih 48 jam ucapan Datuk Ahmad Zahid itu, tidak ada satu pun pemimpin PKR memberikan apa-apa respons.

“Kami yang satu ketika melawan skandal 1MDB tidak mampu untuk berdiam diri lagi jika orang yang pernah menganiaya rakan-rakan saya sebelum ini, diperhebohkan berkenaan pembebasannya.

“Jadi kami ingin bertanya apakah pendirian parti dan adakah pendirian 10 tahun lalu masih kekal,” soalnya lagi.

Isu pengampunan Encik Najib kembali menjadi perhatian selepas Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 mengurangkan hukuman penjara dari 12 tahun kepada enam tahun, serta denda daripada RM210 ($67.72 juta) kepada RM50 juta.

Berdasarkan keputusan itu, Encik Najib dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028, atau setahun kemudian jika denda tidak dijelaskan.

Kontroversi bertambah apabila Encik Najib memperjuangkan kewujudan ‘Titah Adendum’ atau perintah tambahan daripada Agong terdahulu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang membolehkan mantan Presiden Umno itu menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.