Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru membidas kenyataan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Johor Bahru yang menurut mereka bersifat retorik dan berasaskan tafsiran dangkal terhadap angka pertumbuhan ekonomi negeri Johor.
Ketua Penerangannya, Encik Syarul Adam Rahmatullah, berkata kenyataan yang dikeluarkan Armada bukan sahaja menyimpang daripada fakta sebenar, malah memperlihatkan kelemahan dalam memahami perbezaan antara kemajuan ekonomi dengan agihan manfaat pembangunan secara menyeluruh.
“Pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Johor sebanyak 6.4 peratus serta pelaburan bernilai RM30.1 bilion ($9.1 bilion) pada suku pertama 2025 adalah hasil daripada kepimpinan berwibawa yang berteraskan dasar mesra pelabur dan pentadbiran stabil di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kejayaan ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada dasar berani dan pelaksanaan konsisten,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Julai.
Encik Syarul Adam turut menolak dakwaan Armada kononnya kerajaan Johor mengabaikan isu gaji rendah dan penghijrahan bakat muda.
Sebaliknya pentadbiran negeri telah mengambil langkah proaktif melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan.
“Kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (Johor Talent Development Council) yang bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran sejajar dengan keperluan sebenar industri,” tambahnya.
Mengulas dakwaan Armada bahawa wujud ketidakseimbangan pembangunan antara Johor Bahru dengan daerah lain, Encik Syarul Adam menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana daerah.
“Pembangunan yang sedang dijalankan di daerah seperti Mersing, Segamat dan Kota Tinggi telah disusun secara strategik mengikut potensi setempat.
“Di Mersing, misalnya, usaha sedang giat dijalankan untuk menaik taraf produk pelancongan seperti KampungStay Teluk Buih dan Pusat Rekreasi Sungai Triang Besar, manakala Pantai Air Papan pula sedang dipulihkan sebagai salah satu tarikan utama pelancong ke daerah itu.
“Bagi Segamat, projek seperti pembangunan pusat rekreasi pesisir sungai dan Tapak Belia Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) sedang dilaksanakan, selain peranan penting daerah itu sebagai hab pengeluaran makanan negeri melibatkan pertanian, perikanan dan tenusu.
“Kota Tinggi pula menerima manfaat daripada 14 inisiatif khas bagi warga Felda yang melibatkan nilai RM4.5 juta, di samping peruntukan RM25 juta untuk menyelesaikan projek perumahan terbengkalai yang melibatkan generasi kedua Felda.
“Semua inisiatif ini membuktikan, pendekatan pembangunan Johor tidak bersifat ‘satu acuan untuk semua’, sebaliknya disesuaikan mengikut keperluan dan kekuatan tempatan,” jelasnya.
Encik Syarul Adam turut menyelar percubaan Armada menunggang isu kemiskinan dan perumahan bandar dengan menuding jari kepada kerajaan Johor sedia ada.
Beliau mengingatkan bahawa sewaktu diberi peluang menerajui pentadbiran negeri sebelum ini, pihak yang sama gagal menyelesaikan isu tersebut dengan berkesan. Justeru adalah tidak wajar untuk menyalahkan pihak lain atas kegagalan sendiri.
Terdahulu, pada 17 Julai, Ketua Armada Bersatu Bahagian Johor Bahru, Encik Aiman Aizat Azhar, dilaporkan berkata meskipun pertumbuhan ekonomi Johor kini berada di landasan paling pesat membangun di dalam Malaysia, masih wujud jurang ketara antara pertumbuhan ekonomi dengan kehidupan rakyat biasa.
Menurutnya, ramai pekerja tempatan masih terperangkap dalam sektor tidak formal, menerima upah rendah, malah ada yang dibayar di bawah paras gaji minimum.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg