Pergerakan Pemuda Umno Johor menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan medan pertembungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya proses demokrasi untuk membolehkan rakyat menentukan mandat baharu bagi pentadbiran negeri.

Ketuanya, Encik Noor Azleen Ambros, berkata cubaan mengaitkan PRN Johor sebagai persaingan antara dua peringkat kerajaan hanya akan mengelirukan rakyat serta mengalihkan fokus daripada isu sebenar yang perlu diberi perhatian dalam pilihan raya.

Beliau berkata rakyat Johor berhak membuat pilihan politik secara bebas tanpa dipengaruhi persepsi pembangunan negeri atau kebajikan rakyat bergantung kepada parti tertentu yang memenangi pilihan raya.

“Pilihan raya negeri bukan soal kerajaan negeri menentang kerajaan pusat atau menjatuhkan mana-mana kerajaan.

“Ia adalah proses demokrasi untuk memulangkan mandat kepada rakyat supaya mereka dapat memilih gabungan politik yang paling diyakini untuk mentadbir Johor,” katanya dalam satu kenyataan media pada 14 Jun.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, yang didakwa cuba memainkan sentimen hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menjelang PRN Johor.

Encik Noor Azleen berkata Barisan Nasional (BN) Johor memasuki pilihan raya kali ini bukan dengan niat meruntuhkan mana-mana kerajaan, sebaliknya bagi mempertahankan dan memperkukuhkan pentadbiran negeri yang dibentuk hasil mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri 2022.

Menurut beliau, fokus utama BN Johor adalah menawarkan pelan tindakan yang jelas bagi memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan lebih empat juta rakyat Johor dapat diteruskan.

“BN Johor kekal konsisten menawarkan visi dan hala tuju yang jelas untuk negeri ini.

“Kami bersedia mengemukakan pelan tindakan serta penyelesaian yang menyentuh kehidupan, kesejahteraan dan masa depan rakyat sekiranya terus diberikan mandat untuk mentadbir kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan pertandingan dalam PRN adalah persaingan antara parti politik dalam sistem demokrasi dan bukannya konflik antara institusi kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

Menurutnya lagi, sebarang usaha menggambarkan pembangunan Johor akan terjejas sekiranya rakyat membuat pilihan politik yang berbeza adalah sesuatu yang tidak wajar dan bercanggah dengan semangat demokrasi.

“Rakyat Johor berhak membuat pilihan tanpa ugutan, tekanan atau gambaran masa depan mereka bergantung kepada siapa yang menang pilihan raya.

“Hak rakyat untuk memilih adalah asas demokrasi yang mesti dihormati oleh semua pihak dan BN Johor akan terus menawarkan yang terbaik demi kestabilan, kemakmuran dan masa depan Bangsa Johor,” katanya.