Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemuda Umno Johor usul kerjasama dengan Pakatan Harapan hanya sementara
Umno digesa tidak terikat dengan mana-mana pihak hadapi Pilihan Raya Umum ke-16
Pemuda Umno Johor usul kerjasama dengan Pakatan Harapan hanya sementara
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno Johor mengusulkan supaya kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) dianggap bersifat sementara bagi memastikan Umno tidak terikat dengan mana-mana parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata Kerajaan Perpaduan yang dianggotai Umno ketika ini bukan destinasi akhir perjuangan parti tersebut.
Sebaliknya, beliau menyifatkannya sebagai tempat persinggahan sementara bagi Umno mengumpulkan kekuatan untuk kembali menjadi kuasa politik yang dominan.
“Kerajaan Perpaduan yang kita anggotai ini hanyalah suatu titik persinggahan, persinggahan sementara untuk mengumpul kekuatan.
“Ia bukan destinasi akhir kerana matlamat akhir kita adalah untuk kembali dominan dan mendominasi,” katanya ketika mencadangkan usul ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia pada 10 September.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Encik Noor Azleen berkata pendirian itu perlu dinyatakan dengan tegas menjelang PRU-16.
“Kita perlu terus bertegas bahawa kerjasama melibatkan Pakatan Harapan adalah bersifat sementara dan Umno tidak harus terikat dengan mana-mana parti di peringkat negeri mahupun Persekutuan dalam menghadapi PRU-16,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk menetapkan rangka, strategi dan garis masa terbaik bagi melaksanakan agenda penyatuan orang Melayu.
Cadangan tersebut terkandung dalam usul kedua yang dikemukakannya, iaitu supaya Umno kembali menerajui usaha memperkukuh perpaduan orang Melayu.
Encik Noor Azleen berkata Umno perlu mengambil tanggungjawab menghentikan perpecahan politik Melayu dan mengembalikan peranannya sebagai suara utama masyarakat tersebut.
Menurutnya, sokongan yang diterima Umno dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan bahawa orang Melayu bersedia kembali menyokong parti itu sekiranya Umno melakukan perkara yang betul, merendah diri dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Beliau turut menyokong langkah membuka semula pintu parti kepada bekas pemimpin dan anggota yang pernah keluar atau dipecat, sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.
Namun, Encik Noor Azleen berkata seruan penyatuan Melayu perlu disertai tawaran dasar yang nyata dan tidak hanya bergantung pada laungan politik.
“Orang Melayu sudah serik dengan laungan penyatuan yang tidak jujur, tempang dan kosong.
“Agenda Melayu baru yang dianjurkan Umno mestilah diisi dengan wawasan untuk memajukan bangsa Melayu, keluar daripada kepompong lama serta mengubah pemikiran dan budaya yang tidak membangun,” katanya.
Antara perkara yang perlu diberikan tumpuan ialah ketahanan ekonomi Melayu, pendidikan bermutu, pembentukan pemimpin yang amanah serta pentadbiran yang cekap dan bersih.
Umno turut digesa menghasilkan pelan dan dokumen bertulis yang menjelaskan agenda Melayu baru dengan lebih tegas.
Pada masa yang sama, Encik Noor Azleen berkata perjuangan menjaga kepentingan Melayu, Bumiputera dan Islam tidak boleh menafikan hak masyarakat lain.
“Kita perlu tegas menjaga kepentingan Melayu, Bumiputera dan Islam sambil tetap menghormati hak kaum lain supaya sokongan yang dibina bersifat mapan, bukan sementara.
“Umno dan Barisan Nasional mesti dipilih kerana rakyat yakin, bukan sekadar kerana rakyat kecewa dengan pihak lain,” katanya.
