PASIR GUDANG: Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang menyatakan komitmen penuh untuk mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas serta merampas semula DUN Johor Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang, Encik Mohd Khairul Azlan Sulong berkata pihaknya menyambut baik kenyataan Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN akan datang.

Menurut beliau, pendirian itu mencerminkan keyakinan dan kesiapsiagaan BN Johor untuk kembali memperoleh mandat besar rakyat demi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.

“Kenyataan tersebut mencerminkan keyakinan serta kesediaan Barisan Nasional Johor untuk kembali mendapatkan mandat besar rakyat demi memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan serta masa depan Johor yang lebih kukuh dan terjamin,” katanya dalam kenyataan media pada 21 Mei.

Encik Mohd Khairul berkata Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang akan memperkukuh gerak kerja akar umbi serta memperluaskan pendekatan kepada pengundi muda bagi memastikan agenda dan naratif perjuangan BN dapat diterjemahkan dengan lebih jelas kepada masyarakat.

Jelasnya, DUN Permas perlu terus dipertahankan sebagai simbol kestabilan dan kesinambungan khidmat kepada rakyat, manakala DUN Johor Jaya pula mempunyai potensi besar untuk kembali dimenangi BN menerusi gerak kerja tersusun dan kesatuan jentera parti.

Beliau berkata rakyat kini semakin matang dalam menilai politik dan mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman serta mampu bekerja secara konsisten.

“Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan mampu bekerja secara konsisten, bukannya politik yang hanya dipenuhi retorik, sentimen serta polemik berpanjangan tanpa penyelesaian kepada isu rakyat,” katanya.

Menurut beliau, kekuatan organisasi, kesatuan dalam parti dan kepimpinan yang jelas akan menjadi faktor utama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Encik Mohd Khairul berkata pihaknya akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan BN Johor bagi memastikan negeri itu kekal stabil, progresif dan terus maju.

Pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan memenangi 12 kerusi, Perikatan Nasional tiga kerusi dan Muda satu kerusi.