Topik diikuti
Pergi ke BHkuUmno Johor yakin rakyat mampu nilai wakil rakyat konsisten berkhidmat
Umno Johor yakin rakyat mampu nilai wakil rakyat konsisten berkhidmat
Pemuda Umno sasar perkuat jentera parti tanpa hirau khabar angin calon
Umno Johor yakin rakyat mampu nilai wakil rakyat konsisten berkhidmat
Rakyat Johor disifatkan semakin matang dan bijak menilai wakil rakyat yang benar-benar tekal berkhidmat kepada masyarakat, bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Iskandar Puteri, Encik Muhammad Farkhan Haron, berkata keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, bukan satu bentuk pengkhianatan seperti didakwa pihak tertentu.
Bekas peninju profesional negara berusia 38 tahun itu, berkata keputusan berkenaan dibuat berdasarkan kedudukan politik Johor yang berbeza dengan kerjasama di peringkat Persekutuan.
“Kita dalam kerajaan perpaduan ini hanya bentuk kerajaan di peringkat Persekutuan sebab masa itu tiada parti yang mempunyai majoriti kukuh.
“Tetapi di Johor ia berbeza. Ini Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kita memang bergerak sebagai kerajaan BN Johor,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurut Encik Muhammad Farkhan, keputusan bertanding solo di Johor dibuat secara rasmi oleh Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan seluruh jentera parti akan memberi sokongan penuh terhadap keputusan tersebut.
Beliau berkata tuduhan kononnya BN menjadi pengkhianat tidak berasas kerana setiap parti politik sememangnya mahu mempertahankan kerusi sedia ada dan menambah kemenangan.
“Takkanlah mereka hanya mahu pertahankan 16 kerusi sahaja. Sudah tentu mereka juga mahu tambah kerusi.
“Jadi, kita juga ada hak mempertahankan 40 kerusi yang kita menang pada PRN Johor 2022,” katanya lagi.
Mengulas penyertaan golongan muda dalam politik Johor, Encik Muhammad Farkhan berkata Johor kini merekodkan jumlah belia dan anggota parti paling ramai di Malaysia.
Menurutnya, peningkatan sokongan itu didorong pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang disifatkan memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata antara faktor utama ialah kejayaan Johor merekodkan pelaburan tertinggi 2025 sehingga membolehkan kerajaan negeri menyalurkan semula pelbagai bantuan kepada rakyat.
“Kita dapat pelaburan tertinggi di Johor pada 2025, iaitu RM110 bilion ($35 bilion). Sebab itu, kerajaan negeri mampu memberi balik kepada rakyat melalui pelbagai bantuan,” katanya lagi.
Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata hampir 14,000 keahlian baru diterima parti itu sejak pendaftaran dalam talian dibuka pada 20 April.
Sementara itu, ketika diminta mengulas khabar angin beliau antara calon bakal bertanding pada PRN Johor akan datang, Encik Muhammad Farkhan enggan mengulas lanjut dan menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti.
Beliau, bagaimanapun, mengakui namanya sering disebut-sebut sebelum ini termasuk pada PRN Johor 2022, namun menegaskan fokus utamanya ketika ini adalah memperkukuh gerak kerja parti serta membantu semua penyandang kerusi BN di negeri itu.
Menurutnya lagi, khabar angin mengenai pencalonan merupakan perkara biasa dalam politik terutama menjelang pilihan raya, namun beliau memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara itu.
“Itu hanya khabar angin. Fokus saya sekarang adalah membantu semua penyandang kerusi dan menggerakkan jentera parti,” katanya lagi.
