Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencarian pesawat MH370 hilang 11 tahun lalu disambung semula 30 Dis

Operasi pencarian dasar laut bagi kesan serpihan pesawat Malaysia Airlines itu di Lautan Hindi akan dijalankan selama 55 hari
Dec 3, 2025 | 3:52 PM
Malaysia meneruskan pencarian pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 20.
Malaysia meneruskan pencarian pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 20. - Foto fail

Pencarian dasar laut pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang secara misteri lebih sedekad lalu, akan disambung semula pada 30 Disember ini.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi pencarian dasar laut bagi mengesan serpihan pesawat MH370 itu di Lautan Hindi akan dijalankan selama 55 hari.

“(Syarikat) Ocean Infinity telah mengesahkan kepada Kerajaan Malaysia bahawa ia akan memulakan semula operasi pencarian dasar laut selama 55 hari, yang akan dijalankan secara berselang-seli.

“Pencarian akan dilakukan di kawasan sasaran yang dinilai memiliki kebarangkalian tertinggi untuk menemukan pesawat tersebut, selaras dengan perjanjian perkhidmatan yang dimeterai antara Kerajaan Malaysia dengan Ocean Infinity pada 25 Mac 2025,” kata MOT dalam kenyataan pada 3 Disember.

MOT berkata perkembangan terbaru itu menegaskan komitmen Kerajaan Malaysia untuk memberikan penamat dan kepastian kepada keluarga yang terjejas oleh tragedi ini.

Pesawat Boeing 777 itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Dua pertiga penumpang adalah warga China, manakala selebihnya berasal dari Malaysia, Indonesia, Australia dan beberapa negara lain.

Walaupun operasi pencarian yang dinamakan sebagai antara yang terbesar dalam sejarah penerbangan dunia itu dijalankan secara kerjasama antara Malaysia, Australia dan China, pesawat itu tetap gagal dikesan di kawasan pencarian utama di selatan Lautan Hindi.

Sejak kejadian itu, beberapa serpihan pesawat yang disahkan atau dipercayai milik MH370 telah ditemui di sepanjang pesisir barat Lautan Hindi.

Pada Mac lalu, Encik Loke dilaporkan berkata Malaysia telah meluluskan perjanjian dengan syarikat robotik marin, Ocean Infinity untuk membolehkan pencarian baru serpihan pesawat MH370 itu dijalankan.

Dalam kenyataan pada 19 Mac, Encik Loke berkata perjanjian itu akan menyaksikan permulaan operasi pencarian laut dalam untuk mengesan MH370 di kawasan baru yang dianggarkan meliputi kawasan kira-kira 15,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi.

Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada Ocean Infinity sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.

Bagaimanapun, kira-kira seminggu kemudian, Encik Loke mengesahkan pencarian MH370 oleh Ocean Infinity dihentikan dan akan disambung semula pada penghujung 2025.

Katanya keputusan itu dibuat kerana musim semasa tidak sesuai untuk pencarian pesawat itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg