Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mempunyai niat jahat dengan berselindung di sebalik “manfaat politik” dalam mengarahkan pengeluaran dana RM1 juta ($300,360) daripada akaun rasmi Armada, sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hujah pihak pendakwaan.
Niat jahat ahli politik itu boleh dilihat melalui tindakannya dari sebelum pengeluaran wang itu dilakukan pada 6 Mac 2020 hingga selepas 28 Mei 2020, apabila dia tidak memegang apa-apa jawatan di dalam Bersatu dan Armada, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Beliau berkata demikian pada hari kedua prosiding rayuan Syed Saddiq, bekas ketua Armada, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya di Mahkamah Rayuan, di Istana Kehakiman Putrajaya, pada 20 Mac.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, rotan dua kali dan denda RM10 juta selepas mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada.
Datuk Wan Shaharuddin berhujah Syed Saddiq, 32 tahun, juga mengetahui alasannya bagi pengeluaran dana itu kerana khuatir akan berlakunya pergolakan dalam parti dan wang tersebut adalah hasil titik peluhnya adalah satu tindakan salah.
Beliau juga berhujah adalah jelas bahawa pengeluaran wang berkenaan berlaku selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020.
“Keterangan saksi pendakwaan ke-13 (SP13), iaitu Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, tidak tercabar yang mana adanya perjumpaan dan perbincangan di rumah perayu (Syed Saddiq) di antara beliau, SP13 dan saksi pendakwaan ke-11, bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, selepas Langkah Sheraton.
“Keterangan Rafiq Hakim bahawa perayu memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan wang itu dan ia adalah bagi manfaat politik, adalah tidak tercabar. Arahan yang diberikan perayu kepada SP13 itu mempunyai kaitan rapat dengan Langkah Sheraton.
“Manfaat politik ini menunjukkan niat jahat perayu apabila mengeluarkan wang itu. Perayu seolah-olah menjadikan wang di dalam Akaun Armada seperti miliknya sendiri yang boleh beliau gunakan sewenang-wenangnya tanpa membuat sebarang kertas kerja,” kata Datuk Wan Shaharuddin.
Langkah Sheraton adalah kemelut politik Malaysia yang berlaku pada 2020, yang menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia hingga menumbangkan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH), dan berlanjutan dengan krisis pelantikan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Syed Saddiq Menteri Belia dan Sukan ketika pemerintahan kerajaan PH pada 2018 hingga 2019.
Datuk Wan Shaharuddin berkata persoalan yang perlu dijawab Syed Saddiq ialah mengapa arahannya untuk mengeluarkan wang tersebut tidak dibuat sebelum Langkah Sheraton.
Syed Saddiq juga, hujah beliau, mempunyai beban untuk memberikan penjelasan mengapa dia menggunakan alasan pertukaran pucuk pimpinan dalaman Bersatu atau Armada sebagai salah satu alasan untuk mengeluarkan arahan kepada Rafiq Hakim supaya mengeluarkan RM1 juta.
Prosiding di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim itu kemudian ditangguhkan ke 17 April bagi menyambung hujahan pendakwaan kerana Datuk Wan Shaharuddin mengalami sakit tekak dan hilang suara.
Seperti hari pertama prosiding, Syed Saddiq ditemani ahli keluarganya serta penyanyi dan pelakon Bella Astilah pada hari kedua.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg