Pendakwah bebas direman lagi, disyaki seleweng dana RM1.3j di Kedah
Pendakwah bebas direman lagi, disyaki seleweng dana RM1.3j di Kedah
ALOR SETAR (Kedah): Seorang pendakwah bebas sekali lagi direman bersama seorang Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan di sebuah pusat pendidikan serta dakwah di Kedah, oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas disyaki bersubahat dalam penyelewengan dana dianggarkan RM1.3 juta ($420,000).
Perintah reman selama tiga hari sehingga 8 Februari terhadap kededua suspek dikeluarkan Majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pada pagi 6 Februari.
Sumber SPRM berkata suspek seorang lelaki dan seorang wanita berumur sekitar 30-an tahun ditahan semula kira-kira 6 petang pada 5 Februari, di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani, Kedah, bagi membantu siasatan kes berasingan.
Katanya kededua suspek sebelum itu direman selama sehari pada 4 Februari, selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani, sebelum dibebaskan pada 5 petang hari sama.
“Kededua suspek, di mana pendakwah bebas tersebut yang juga Pengarah Urusan pusat pendidikan dan dakwah di Kedah itu direman buat kali kedua kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya.
“Pada masa sama, siasatan turut mendapati kededua suspek meluluskan pembayaran untuk pembelian rumah bernilai kira-kira RM500,000,” katanya, lapor Harian Metro.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong, mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, siasatan yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak Oktober 2025 disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Pada 4 Februari, kededua individu terbabit direman bagi membantu siasatan selepas disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pembayaran berjumlah kira-kira RM600,000.
Ia dipercayai sebagai balasan bagi tujuan kutipan dana pusat pendidikan dan dakwah berkenaan tanpa persetujuan rakan kongsi lain.
Siasatan awal mendapati kededua suspek, masing-masing adalah Pengarah Urusan Syarikat dan Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar September 2018.
Suspek utama seorang lelaki dipercayai menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat bersama suspek kedua, seorang wanita dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 itu.

