Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menyaksikan penyerahan cek bernilai $700,000 kepada Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) untuk bantuan kemanusiaan kelima dari Singapura ke Gaza.
Ini termasuk sumbangan AS$200,000 ($263,320) daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA) kepada kempen pengumpulan dana Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) yang berterusan untuk Gaza, yang akan disalurkan kepada Unicef.
Singapura kekal komited untuk menawarkan sokongan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas di Gaza, dan bekerja rapat dengan rakan kongsi sejagat untuk memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan tepat pada masanya, menurut satu hantaran di Facebook oleh MFA pada 2 November.
MFA menambah, warga Singapura telah menderma sekitar $18 juta dalam bentuk wang tunai dan pelbagai bentuk bantuan lain bagi usaha kemanusiaan untuk Gaza sejak November 2023.
Ia juga berkata bahawa $2 juta yang dikumpul oleh RLAF pada 10 November telah disalurkan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa=Bangsa Bersaytu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), termasuk bantuan kemanusiaan daripada Palang Merah Singapura (SRC) bernilai AS$100,000 yang diberikan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC).
Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dalam satu penerbangan ke Al-Arish, Mesir, pada 30 November telah menyerahkan peralatan perubatan, farmaseutikal, sanitasi, selimut, saringan air dan makanan daripada agensi pemerintah dan badan bukan pemerintah (NGO) yang termasuk SRC, Mercy Relief dan Relief Singapore.
Pada Januari, SAF telah menghantar pasukan perubatan terdiri daripada dua anggota di atas kapal FS Dixmude untuk menyediakan bantuan perubatan dan penjagaan kejururawatan selepas pembedahan mangsa Gaza di Pelabuhan Al-Arish.
Di samping itu, RSAF juga telah menghantar bantuan kemanusiaan merangkumi pek makanan, bekalan perubatan dan peralatan ke Jordan, serta lebih 20 tan makanan ke Gaza yang digugurkan dari udara bersama Tentera Udara Diraja Jordan.
Menurut MFA, sebanyak 300 tan metrik ikan sardin dalam tin yang dijamin halal dan 1,000 tan metrik beras putih telah diderma oleh pemerintah Singapura pada Julai.
“Singapura kekal menggesa gencatan senjata kemanusiaan dengan segera, dan menggesa semua pihak untuk membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan segera, selamat dan tanpa halangan kepada orang awam di Gaza,” kata MFA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg