Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sindiket tipu derma: Usah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga

Oct 16, 2023 | 5:30 AM
MUDAH BANTU: Walaupun ramai bermurah hati untuk menderma, pastikan salurannya betul supaya sumbangan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
MUDAH BANTU: Walaupun ramai bermurah hati untuk menderma, pastikan salurannya betul supaya sumbangan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan. - Foto ST

Di Malaysia, agak biasa anda didatangi peminta sedekah ketika sedang makan di restoran atau berjalan berhampiran bank serta pusat beli-belah.

Kata orang, rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat pemurah. Mudah saja menghulur sumbangan dengan berpegang kepada konsep berkongsi rezeki.

Saya juga pasti, dalam kalangan pembaca Berita Minggu (BM) juga pernah menderma dan menyumbang kepada pertubuhan kebajikan setempat mahupun luar negara.

Namun, berita mengenai tumpasnya satu sindiket penipuan dalam talian berkaitan pungutan derma untuk tiga persatuan kebajikan di Malaysia yang beroperasi sejak lima tahun lalu benar-benar menarik perhatian saya.

Sindiket itu dikesan menyediakan tujuh akaun bank yang menggunakan nama syarikat berbeza untuk mereka yang bersetuju memberikan derma dan aktif di media sosial.

Kejayaan polis menumpaskan sindiket penipuan kutipan derma itu bukanlah satu perkara baru. Sebelum ini dua beranak ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan kutipan derma di Sentul, Kuala Lumpur.

Yang mengejutkan, penahanan wanita berusia 60 tahun dan anak lelakinya berusia 28 tahun membawa kepada penemuan wang tunai berjumlah RM110,011 ($31,765) manakala RM268,000 lagi dalam akaun bank wanita terbabit dipercayai hasil sumbangan orang ramai.

Dua berita itu mengingatkan saya kepada kenyataan Duta Palestin di Malaysia, Encik Walid Abu Ali, pada 2020 bahawa sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk tujuan pembangunan dan pembebasan Masjid Al-Aqsa tidak sampai kepada pihak pengurusan di negara itu.

Menurut beliau, derma dan sumbangan mencecah jutaan ringgit setiap tahun yang dikutip di Malaysia sepatutnya sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmakdis yang ditadbir urus Kementerian Wakaf Jordan dan pihak berkuasa Palestin.

Kata Encik Walid, daripada maklumat yang diterimanya, sumbangan rakyat Malaysia tidak sampai kepada mereka.

Ini membuatkan saya terfikir, Malaysia ada banyak pertubuhan kebajikan, malahan badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat kutipan derma untuk menjalankan pelbagai program bantuan dan kebajikan.

Tetapi, siapakah yang memantau wang kutipan itu sama ada ia disalurkan secara tuntas atau tidak? Sebagai penyumbang, pasti kita rasa sedih dan terkilan jika mengetahui wang yang didermakan tidak sampai kepada penerima.

Rasa kecewa apabila niat baik untuk menderma akhirnya disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab semata-mata demi mengaut keuntungan mudah.

Saya sempat berbual dengan seorang bekas pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).

Kata beliau, NGO tidak tertakluk di bawah bidang kuasa seliaan BNM, tetapi mengakui tiada garis panduan khusus yang memantau penubuhan tabung-tabung kutipan termasuklah tabung bencana yang diusahakan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Namun, seorang aktivis NGO berdaftar memberitahu, NGO yang termaktub di bawah perlembagaan dan undang-undang tubuh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Justeru, ada klausa dalam perlembagaan tubuh NGO yang membolehkan mereka menggunakan peratusan tertentu daripada sumbangan awam untuk menampung kos pengurusan.

Namun ia bukanlah semudah ‘ABC’, tetapi perlukan kelulusan jawatankuasa NGO dan mengikut peraturan tertentu RoS.

Kata beliau, kerajaan sepatutnya mempunyai mekanisme atau peruntukan khusus untuk membuat semakan atau pemantauan terhadap tabung-tabung bantuan kendalian NGO mahupun syarikat, supaya ia tidak disalah guna.

Bagi saya, dalam dunia dengan pelbagai perkara pelik sanggup dilakukan sesiapa sahaja untuk mendapatkan wang, kita perlu lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan derma.

Mudah saja, buatlah semakan di laman web Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum menyalurkan sebarang sumbangan, sama ada ia benar-benar wujud dan sah.

Pendekatan yang lebih mudah dan selamat ialah untuk anda menghubungi sendiri mana-mana pertubuhan kebajikan yang ingin dibantu dan minta maklumat secara terus supaya bantuan benar-benar sampai ke sasar dan dapat dimanfaatkan dengan baik.

Namun, janganlah pula disebabkan kisah penipuan seperti di atas membuat kita pula hilang sifat memberi kerana masih ramai yang benar-benar perlukan bantuan.

Cuma kita perlukan sedikit kerajinan untuk membuat semakan supaya bantuan dapat disalurkan secara betul dan selamat.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Bagi saya, dalam dunia dengan pelbagai perkara pelik sanggup dilakukan sesiapa sahaja untuk mendapatkan wang, kita perlu lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan derma. Mudah saja, buatlah semakan di laman web Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum menyalurkan sebarang sumbangan, sama ada ia benar-benar wujud dan sah... Namun, janganlah pula disebabkan kisah penipuan seperti di atas membuat kita pula hilang sifat memberi kerana masih ramai yang benar-benar perlukan bantuan. 
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg