Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendakwah dakwa solat Jumaat dengan makhluk halus: Jabatan agama Kedah siasat

May 2, 2025 | 11:48 AM
Malaysia, tokoh agama
Video tular memaparkan seorang pendakwah terkenal di Malaysia yang mendakwa dirinya menunaikan solat Jumaat bersama makhluk halus atau bunian. Kes itu kini disiasat Jabatan Hal Ehwal Agama Kedah. - Foto TANGKAP LAYAR BULETIN VIRAL

ALOR SETAR (Kedah): Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (Jheaik) sedang menjalankan siasatan berhubung penularan satu video yang memaparkan dakwaan solat Jumaat bersama golongan makhluk halus yang juga dikenali sebagai bunian, membabitkan seorang pendakwah terkenal, baru-baru ini.

Pengarah Jheaik, Datuk Abd Ghani Zainudin, berkata pihaknya akan memanggil pendakwah terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

“Kita maklum tentang penularan video itu dan dakwaan pendakwah berkenaan solat Jumaat bersama bunian yang didakwa dilakukan seorang agamawan ketika hayatnya.

“Jheaik akan mengkaji video tersebut dan akan memanggil pendakwah terbabit bagi mendapat penjelasan berhubung perkara itu sebelum tindakan sewajarnya diambil,” katanya, lapor Harian Metro.

Datuk Abd Ghani berkata Jheaik sedang bekerjasama dengan Jabatan Mufti Kedah untuk merangka tindakan bersesuaian dalam menangani isu berkenaan.

Beliau turut menasihatkan semua pendakwah supaya berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak taasub dan mendapatkan kesahihan daripada pihak bertauliah berhubung sesuatu isu.

“Kita juga berharap semua pihak bertenang dan membiarkan pihak berkaitan menyiasat isu ini, termasuk tidak mengeluarkan kenyataan sehingga mendatangkan kegusaran ramai di media sosial,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu tular di media sosial satu video sepanjang satu minit 31 saat yang memaparkan pendakwah terkenal dipercayai dalam satu majlis berserta keterangan, ‘Kisah Paksu Mid Solat Jumaat Bersama Bunian di Tengah Laut’.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dilaporkan berkata jika terdapat pendakwah yang menimbulkan isu yang mengelirukan masyarakat, mereka akan dipanggil untuk diberi peringatan.

“Seterusnya, pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan terhadap pendakwah tersebut dengan menarik semula tauliah mengajar sekiranya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg