Singapura telah melihat “peningkatan yang mendadak” dari segi jumlah belia yang menjadi radikal dan trend ini amat membimbangkan, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Bercakap kepada media pada 2 April di Masjid Maarof di Jurong West, Dr Faishal berkata adalah penting bagi keluarga membuat laporan awal supaya mereka yang terpengaruh dengan ajaran salah dapat menjalani pemulihan dan disokong dengan baik.
“Kalau kita imbas kembali beberapa tahun yang lalu, ramai di kalangan mereka yang terpengaruh adalah di bawah usia 20 tahun. Ini adalah satu trend yang membimbangkan.
“Walaupun mereka berusia muda, ancaman mereka sama seperti mereka yang dewasa. Justeru kita harus berwaspada dan bekerjasama sebagai satu masyarakat, demi membangunkan masyarakat yang harmoni di Singapura,” kata Dr Faishal.
Beliau membuat komen itu berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 2 April.
Laporan tersebut menunjukkan seorang belia perempuan Islam 15 tahun telah dikenakan dengan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Februari kerana menjadi penyokong ISIS.
Dalam beberapa minggu selepas terdedah kepada propaganda ISIS bermula Jun 2023, belia itu menjadi yakin bahawa kumpulan itu adalah tentera agama sah yang membela umat Islam di Iraq dan Syria.
Menurut ISD, ibunya sedar anak perempuannya menggunakan bahan pro-ISIS dan telah menasihatinya supaya tidak berbuat demikian. Namun, beliau tidak menyangka tingkah laku anaknya itu memerlukan campur tangan selanjutnya.
Dr Faishal berkata apabila ISD menerima aduan, agensi tersebut akan melihat bagaimana ia dapat menolong mereka yang terjejas, termasuk belia.
“Lebih baik kalau laporan dibuat lebih awal supaya kita boleh mengadakan kaunseling, memberikan ruang bagi mereka untuk pulih.
“Dengan ini juga, kita sama-sama dapat menyelamatkan ahli keluarga yang terpengaruh daripada ajaran yang tidak betul,” kata Dr Faishal.
Bersetuju dengan pandangan itu, pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata amat penting bagi ibu bapa memahami bahawa membuat laporan awal terhadap anak mereka yang terpengaruh adalah suatu perkara yang baik.
Ini supaya anak mereka dapat menjalani proses pemulihan dan memperbetulkan ideologi salah yang telah mereka pelajari.
“Ibu bapa juga harus membuat penilaian awal, apakah perlu anak itu dilaporkan atau mereka sendiri dapat memberikan nasihat. Sekiranya ibu bapa dapat memberikan nasihat, itu satu perkara yang baik.
“Sekiranya mereka tidak dapat memberikan nasihat, mereka harus mendapatkan bantuan daripada para asatizah. Tapi bagi kes-kes serius, saya kira ibu bapa perlu laporkan kerana itu akan membawa kebaikan kepada anak-anak mereka,” kata Ustaz Dr Mohamed.
ISD berkata sejak 2015, agensi tersebut telah menahan 17 belia berumur 20 tahun dan ke bawah di bawah ISA. Semuanya diradikalkan sendiri dalam talian.
Daripada 17 ini, sembilan bercita-cita untuk melakukan serangan di Singapura, tambahnya
“Mereka yang diradikalisasikan semakin muda, dengan remaja berusia 15 tahun itu merupakan remaja wanita pertama dan kedua termuda, yang dikeluarkan dengan perintah ISA.
“Kesnya mencerminkan trend global remaja wanita, beberapa seawal 14 tahun, yang bercita-cita untuk pergi ke Syria untuk berperang, atau menyokong perjuangan ISIS dengan menjadi “pengantin jihad”
ISD berkata ancaman yang ditimbulkan oleh ISIS masih belum reda, dan kini masih diteruskan menerusi usaha propaganda dalam talian, rangkaian maya penyokong dan sekutu global.
Ia menambah orang ramai mesti berwaspada terhadap tanda-tanda bahawa seseorang di sekeliling mereka mungkin menjadi radikal, dan mereka perlu segera mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa.
“Ahli keluarga dan rakan-rakan adalah yang terbaik untuk melihat perubahan dalam tingkah laku dan segera memaklumkan pihak berkuasa jika mereka mengesyaki orang yang mereka sayangi telah menjadi radikal.
“Berbuat demikian membolehkan individu yang disyaki menjadi radikal mendapat bantuan yang mereka perlukan, dan memastikan masyarakat selamat,” kata ISD.
Dalam satu catatan Facebook pada 2 April, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim mengucapkan terima kasih kepada pegawai ISD yang bekerja dengan senyap dan tanpa jemu untuk menangani ancaman tersebut.
Beliau berkata sebagai seorang ayah, beliau bimbang tentang maklumat salah yang sengaja disebarkan untuk mengelirukan belia.
“Saya harap belia ini akan menghakis rasa kebencian dalam dirinya. Bagi kita yang lain, kita semua memikul tanggungjawab dalam cara kita melayan satu sama lain dalam hantaran media sosial kita...
“...dan dalam interaksi harian kita untuk mempamerkan versi terbaik diri kita dalam masyarakat berbilang kaum dan agama kita dan menyatukan fabrik sosial kita; bukannya menyemarakkan api perpecahan atau mencetuskan emosi yang boleh memisahkan kita,” kata Encik Zhulkarnain.
“
“Kalau kita imbas kembali beberapa tahun yang lalu, ramai di kalangan mereka yang terpengaruh adalah di bawah usia 20 tahun. Ini adalah satu trend yang membimbangkan. Walaupun mereka berusia muda, ancaman mereka sama seperti mereka yang dewasa. Justeru kita harus berwaspada dan bekerjasama sebagai satu masyarakat, demi membangunkan masyarakat yang harmoni di Singapura.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg