Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendakwah selebriti dipenjara 14 bulan atas tuduhan ‘kelucahan melampau’

Dec 6, 2024 | 3:00 PM
Pendakwah bebas, Azman Syah Alias, 43 tahun, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang, Selangor, pada 6 Disember.
Pendakwah bebas, Azman Syah Alias, 43 tahun, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang, Selangor, pada 6 Disember. - Foto BERNAMA

KLANG (Selangor): Pendakwah selebriti terkenal Malaysia, Azman Syah Alias, dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang, Selangor, selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki, pada 2022.

Ini adalah hukuman kedua dihadapi Azman Syah yang juga dikenali sebagai PU (Pencetus Ummah) Azman.

Pada 27 September, Azman Syah, 43 tahun, dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang, selepas didapati bersalah atas tuduhan serangan seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.

Dia kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor, selepas Hakim Noridah Adam ketika itu menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu dan memerintahkan hukuman dijalankan serta-merta.

Dalam prosiding pada 6 Disember, Azman Syah membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid, selepas representasi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara diterima bagi menukar pengakuan sebelum ini yang mengaku tidak bersalah.

Representasi berkenaan dikemukakan Azman Syah pada Oktober dan diterima Jabatan Peguam Negara pada awal November, lapor Harian Metro.

Bagi tuduhan itu, PU Azman didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, Klang, pada 9.15 malam, 10 Jun 2022.

Peguam PU Azman, Encik Fahmi Adilah, dalam rayuannya memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya, selain memaklumkan pengakuan bersalah itu didorong faktor keinsafan dan menyesal atas perbuatan berkenaan.

Malah, tertuduh berjanji kepada mahkamah untuk menjadi seorang warganegara yang baik dan berguna.

PU Azman sebelum ini dilaporkan menghadapi 12 tuduhan berkaitan kesalahan seksual, iaitu lima tuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan; empat tuduhan di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang; satu tuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang, serta dua kes di Mahkamah Shah Alam, masing-masing di Selangor.

Azman Syah terpilih sebagai juara rancangan melahirkan bakat pendakwah menerusi program televisyen Pencetus Ummah pada 2014.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg