KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun.
Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata daya usaha berkenaan adalah bagi meningkatkan keberhasilan pendidikan negara.
“Pada masa sama, lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan disediakan terutama di kawasan desa.
“Kerajaan juga akan melaksanakan kajian semula ke atas waktu persekolahan optimum, menilai keberkesanan sekolah khusus dan menambah baik model pendidikan bagi murid pintar cerdas dan berbakat,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat pada 31 Julai.
Datuk Anwar tidak menyebut bila rancangan mewajibkan pendidikan prasekolah itu akan dilaksanakan, namun difahamkan rancangan itu akan dilaksanakan dalam tempoh 2026-2030.
Tambahnya, tumpuan juga akan diberikan terhadap usaha pemerkasaan penguasaan bahasa Melayu di semua peringkat, sementara bahasa Inggeris akan dijadikan bahasa pembelajaran dan perhubungan, dengan pembelajaran bahasa tambahan akan diperluas.
Datuk Anwar memaklumkan pengukuhan pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) dan literasi digital, termasuk pengenalan asas kecerdasan buatan (AI) akan digerakkan bagi melahirkan generasi yang bersedia memenuhi permintaan pasaran kerja masa depan bernilai tinggi.
“Sistem pendidikan negara akan diperkemas supaya lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa depan.
“Oleh itu, KPM bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengawal selia pendidikan prasekolah hingga menengah.
“Bagi pendidikan prauniversiti dan pengajian tinggi akan diselaras Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan matlamat memperjelas bidang kuasa dan meningkatkan kecekapan dasar serta pelaksanaan,” jelasnya, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam pada itu beliau berkata kerajaan memperuntuk RM67 bilion ($20 bilion) bagi sektor pendidikan dalam RMK-13.
Ia termasuk untuk pembinaan sekolah baru, membaiki dan menaik taraf bangunan sekolah termasuk tadika Kemas serta kemudahan institusi pendidikan tinggi awam.
Sehingga 2025, sejumlah 1,200 sekolah daif di seluruh negara telah dinaik taraf.
Menurut Datuk Anwar, pembinaan sekolah menerusi RMK-13 akan dijadikan syarat kebenaran merancang projek perumahan berskala besar baru dan usaha itu memerlukan kerjasama semua negeri dan majlis perbandaran.
“Syarat kebenaran merancang mesti dimasukkan (sebagai) keperluan pendidikan.
“Pembinaan sekolah menegak akan diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar dan ketiadaan tapak sekolah yang bersesuaian,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg