Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Ulu Tiram kekal tabah dua minggu selepas serangan maut di balai polis

Jun 2, 2024 | 5:30 AM
Rumah yang dikepung pita polis berwarna kuning ini dipercayai rumah lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei dan terletak di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor.
Rumah yang dikepung pita polis berwarna kuning ini dipercayai rumah lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei dan terletak di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor. - Foto BM oleh KHALID BABA

Selepas lebih dua minggu insiden serangan lelaki berusia 21 tahun yang membunuh dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, kegiatan masyarakat di daerah tersebut dilihat sudah kembali seperti biasa.

Namun begitu, terdapat juga beberapa kesan ‘peninggalan’ psikologi daripada insiden serangan pada 17 Mei itu yang dijangka terus mengingatkan masyarakat setempat akan bahaya pengganasan dan golongan pelampau yang pernah mereka lalui pada tahun 1990-an selepas Madrasah Luqmanul Hakim di Kampung Sungai Tiram dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah (JI).

Ketua Kampung Ulu Tiram, Encik Shazrul Idham Abd Aziz, ketika ditemui Berita Minggu (BM), akur tentang gangguan emosi tersebut tetapi beliau yakin bahawa penduduk Ulu Tiram berdaya tahan dan kuat mengharungi imej yang sedikit tercalar akibat insiden serangan di balai polis tersebut.

“Kes serangan itu satu kes terasing dan terpisah, dan warga Singapura tidak perlu bimbang untuk ke Ulu Tiram kerana polis telah menangani kes ini dengan baik. Kami kini jalani kehidupan harian seperti biasa,’’ tegas Encik Shazrul.

Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Pak Mustafa berkata: “Apabila kami bangun pagi pada 17 Mei lalu, kami dikejutkan dengan berita serangan itu tetapi saya tidak menutup kedai atau bimbangkan ia merebak kerana kami yakin dengan polis (dan) pihak keselamatan. Keadaan kekal aman di sini,” ujar beliau yang berusia 70 tahun dan berniaga kedai makan yang terletak sekitar dua kilometer dari rumah penyerang.

Ketika BM mengunjungi rumah penyerang pada 29 Mei di Kampung Sungai Tiram, kawasan rumah itu telah dikepung dengan pita berwarna kuning oleh pihak polis.

Ia sebuah rumah setingkat yang kelihatan usang dengan bumbung zink kelabu. Ia terletak di bahagian belakang sebidang tanah persendirian – jaraknya kurang 8 kilometer atau 12 minit memandu dari Balai Polis Ulu Tiram.

Tanah persendirian itu juga tempat letaknya bekas Madrasah Luqmanul Hakim yang suatu ketika dahulu pernah menjadi tempat berkumpul bekas pemimpin kanan anggota JI pada pertengahan 1990-an. Rumah penyerang itu hanya sekitar 100 meter dari tapak madrasah tersebut.

Kesemua lima anggota keluarga penyerang itu yang berusia antara 19 hingga 62 tahun, termasuk ayahnya, telah diberkas susulan serangan oleh suspek tersebut. Mereka terdiri daripada ibu bapa, abang, kakak dan adik kepada suspek tersebut yang kini sedang ditahan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pada awalnya, Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, telah menyifatkan penyerang tersebut sebagai seorang anggota JI. Namun, dalam siasatan selanjutnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penyerang tersebut telah bertindak sendirian dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebarang kumpulan pengganas.

Seorang penduduk Kampung Ulu Tiram yang ditemui BM dan hanya mahu dikenali sebagai Encik Ipin pula mendakwa kali terakhir beliau melihat penyerang adalah di Masjid Bandar Ulu Tiram ketika menunaikan solat – beberapa jam sebelum terjadinya serangan di Balai Polis Ulu Tiram.

Masjid tersebut terletak sekitar 850 meter daripada Balai Polis Ulu Tiram dan kejadian serangan maut itu berlaku sekitar 2.30 pagi pada 17 Mei.

“Kali terakhir saya nampak dia adalah sekitar 9 malam. Dia sembayang Isyak di Masjid Bandar Ulu Tiram. Kemudian, dia pergi tambah nilai kad SIM telefon bimbitnya,” kata Encik Ipin.

Beliau menambah ada kemungkinan lelaki penyerang tersebut bekerja sebagai penghantar makanan kerana beliau sering melihatnya menaiki motor penghantar makanan. Lelaki itu menunggang motosikal ke balai polis pada hari kejadian.

Namun, seorang lagi penduduk Kampung Ulu Tiram yang tidak mahu dinamakan berkata motor tersebut mungkin milik abangnya yang bekerja sebagai penghantar makanan.

Seorang sumber memberitahu bahawa penyerang itu memakai kaki palsu atau lebih dikenali “kaki batu” dalam kalangan orang kampung dan berjalan tempang. “Saya rasa pelik, dia kaki batu tapi bagaimana dia boleh menumpaskan polis?” katanya.

Beberapa penduduk kampung berkata kampung tersebut sebenarnya “aman dan tenang” dan tidak ada apa-apa yang membimbangkan.

Malah, sehari selepas kejadian tersebut, perniagaan dan kehidupan di kampung itu semuanya berjalan seperti biasa.

Namun, beberapa jiran di tanah persendirian di mana suspek itu tinggal berkata “keluarga itu tidak pernah bergaul dengan orang lain”.

“Waktu sembahyang pun mereka tak datang surau. Mereka tak campur dengan kita.

“Kalau orang kata ini kawasan JI, itu cerita lama. Dah 20 tahun. Cerita itu sudah basi,” kata seorang penduduk yang dipercayai imam surau tersebut.

Para penduduk, berkata mereka tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang kes pembunuhan tersebut atau memberikan nama mereka kerana “tidak mahu masuk campur urusan keluarga lain” dan berkata kampung itu “memang aman dan tidak ada masalah apa-apa pun”.

Mereka telah dimaklumkan oleh polis untuk tidak bercakap dengan media, dan hanya memberitahu media agar mengajukan semua soalan kepada pihak berkuasa.

Kes serangan maut

Pada 17 Mei, Malaysia dikejutkan dengan kejadian serangan maut oleh seorang lelaki di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, yang menyebabkan dua konstabel polis terkorban, manakala seorang lagi cedera.

Dalam serangan yang berlaku pada 2.30 pagi itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terbunuh akibat ditetak dan ditembak penyerang yang lengkap bertopeng, bersenjatakan parang dan memakai perisai perlindungan diri buatan sendiri.

Seorang lagi anggota, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun – yang berjaya menembak mati penyerang tersebut – mengalami cedera parah dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. Beliau kini sudah dibenarkan pulang selepas sembilan hari menerima rawatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg