Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Johor pantau rapi kegiatan ekstremis agama, ajaran sesat

May 27, 2024 | 1:19 PM
Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar (tengah), menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis cemerlang dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Bahru, pada 27 Mei.
Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar (tengah), menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis cemerlang dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Bahru, pada 27 Mei. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

JOHOR BAHRU: Kegiatan ekstremis agama serta kumpulan ajaran sesat dan meragukan di Johor sentiasa dalam radar pemantauan Cawangan Khas Polis Johor.

Jaminan itu diberikan oleh Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar, namun beliau berkata ciri-ciri mereka yang terlibat secara langsung dengan kegiatan tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Justeru, beliau memohon kerjasama masyarakat khususnya jiran tetangga bagi memberi maklumat dan melaporkan sekiranya terdapat kegiatan atau aktiviti mencurigakan di kawasan mereka.

“Kita tidak dapat menilai ideologi seseorang itu menerusi pandangan mata kasar.

“Sehubungan itu, maklumat awal daripada keluarga terdekat dan jiran tetangga ini adalah sangat penting dalam usaha pencegahan awal, berhubung perubahan sikap, tingkah laku dan aktiviti harian.

“Cawangan Khas Polis Johor sentiasa komited dalam memastikan kegiatan ekstremis agama, kumpulan sesat dan meragukan ini menjadi keutamaan, dalam menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam dalam negara umumnya dan Johor khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 27 Mei, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Pada 17 Mei lalu, Malaysia dikejutkan dengan kejadian serangan maut oleh seorang lelaki di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, yang menyebabkan dua konstabel polis terkorban, manakala seorang lagi cedera.

Dalam serangan pada 2.30 pagi itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terbunuh masing-masing akibat ditembak dan ditetak oleh penyerang yang bertopeng, bersenjatakan parang dan lengkap memakai perisai pelindung diri buatan sendiri.

Seorang lagi anggota, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun – yang berjaya menembak mati penyerang berusia 21 tahun yang dipercayai mengamalkan fahaman tertentu – mengalami cedera parah dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Bagaimanapun, beliau sudah dibenarkan keluar dari HSI pada 25 Mei, selepas sembilan hari menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, berkata anggota berusia 38 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan masih memerlukan rawatan susulan oleh pihak hospital.

Katanya, bapa kepada tiga cahaya mata itu juga diberikan cuti dua bulan secara berperingkat, bergantung kepada keadaan kesihatannya.

“Keadaannya kini stabil, boleh berjalan dan tidak memerlukan tongkat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan negeri Johor kepada Anggota PDRM Kontinjen Johor pada 27 Mei, lapor BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg