Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengguna M’sia mahu kenderaan asing isi petrol bersubsidi dihukum

Pengusaha stesen minyak persoal hukuman akibat jual petrol bersubsidi kepada kenderaan asing
Feb 9, 2025 | 5:30 AM
Sebahagian besar stesen minyak di Malaysia, terutama di kawasan sempadan termasuk di Johor, ditampal dengan notis amaran yang melarang kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi minyak petrol RON95 yang disubsidi kerajaan Malaysia khusus untuk manfaat warganya.
Sebahagian besar stesen minyak di Malaysia, terutama di kawasan sempadan termasuk di Johor, ditampal dengan notis amaran yang melarang kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi minyak petrol RON95 yang disubsidi kerajaan Malaysia khusus untuk manfaat warganya. - Foto-foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

‘Jual RON95 kepada kenderaan asing, pengusaha stesen minyak dikenakan tindakan’; ‘Tular jual RON95 kepada warga Singapura, pengusaha bakal didakwa’; ‘KPDN siasat kereta Singapura isi RON95 di JB’.

Itu antara tajuk berita yang banyak dilaporkan media Malaysia mengenai sikap pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing termasuk dari Singapura, yang ‘ditangkap’ mengisi minyak petrol bersubsidi iaitu RON95 secara haram di stesen minyak terutama di Johor, jiran terdekat Singapura.

Petrol RON95 diberi subsidi bernilai berbilion ringgit setiap tahun oleh kerajaan Malaysia untuk kemudahan yang hanya dikhususkan buat penduduk negara itu.

Tindakan segelintir warga Singapura ‘mencuri’ bahan api bersubsidi itu bukanlah isu baru, malah sering tular dan berlarutan bertahun-tahun lamanya, terutama sejak kerajaan Malaysia mula memberi subsidi bagi petrol RON95 dan diesel secara rasmi sejak tahun 2000, untuk meringankan bebanan kos bahan api kenderaan buat warganya.

Ketika artikel ini ditulis, harga petrol RON95 di Malaysia ditetapkan pada kadar RM2.05 seliter atau sekitar $0.63 sen seliter – antara yang terendah dan termurah di dunia – berbanding harga petrol gred sama di Singapura iaitu sekitar $2.93 seliter atau RM9.60 seliter; Thailand sekitar TB44.04 seliter (RM5.80) dan Indonesia sekitar Rp12.900 (RM3.50) seliter.

Malah, media antarabangsa Pakistan – The Express Tribune – baru-baru ini menyenaraikan Malaysia sebagai antara 10 negara di dunia yang menawarkan harga petrol paling murah di samping negara pengeluar minyak lain seperti Iran, Libya, Venezuela, Angola, Mesir, Algeria, Kuwait, Turkmenistan dan Kazakhstan.

Walaupun Malaysia mula memberi subsidi bahan api diesel dan petrol RON95 sejak 2000, penguatkuasaan larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan nombor pendaftaran asing hanya diperketatkan sejak 17 Jun 2022.

Di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pengusaha stesen minyak boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, sekiranya didapati menjual petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Bagaimanapun, apa yang dipersoalkan banyak pihak terutama pengusaha stesen minyak ialah hukuman akibat kesalahan itu hanya ditanggung pemilik stesen minyak, sedangkan kenderaan asing yang mengisi petrol RON95 terlepas daripada dikenakan sebarang tindakan.

Justeru banyak pihak terutama pengusaha stesen minyak, pengguna dan pembayar cukai di Malaysia menggesa kerajaan supaya merangka undang-undang yang menghukum pemilik kenderaan asing yang ‘mencuri’ hak subsidi penduduk negara itu.

Kelompangan undang-undang yang hanya mengenakan hukuman kepada penjual iaitu pengusaha stesen minyak dilihat sebagai satu kekurangan yang menyukarkan usaha membanteras ketirisan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing, malah kes sedemikian semakin menjadi-jadi.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Khairul Anuar Abdul Aziz, berkata undang-undang semasa di Malaysia ketika ini hanya menghukum pengusaha stesen minyak yang didapati menjual petrol RON95 kepada kenderaan asing, tetapi tidak menghukum pemandu kenderaan asing, iaitu pihak yang melakukan kesalahan melanggar larangan ditetapkan kerajaan Malaysia.

“Pesalah tidak boleh sebelah tangan, mesti ada dua pihak yang dipersalahkan iaitu yang menjual dan membeli. Hakikatnya pengusaha stesen minyak berdepan cabaran besar untuk memantau dan mengawal petrol RON95 daripada dibeli kenderaan asing. Tetapi mengecewakan apabila keadaan itu berlaku, hanya stesen minyak yang dihukum.

“Hakikatnya stesen minyak tidak rugi pun jika tidak menjual petrol RON95, malah kami lebih bimbang kerana tindakan dan denda yang akan dikenakan begitu tinggi dan boleh menyebabkan kerugian.

“Tetapi ketirisan itu selalunya berlaku secara senyap-senyap dan tersembunyi. Pihak yang membeli tahu ia satu kesalahan, jadi mereka cuba melakukannya secara terselindung.

“Tanpa undang-undang yang turut mengenakan hukuman kepada kenderaan asing yang membeli petrol RON95, peraturan dan larangan yang kita kuatkuasakan terhadap mereka tiada bermakna kerana mereka tahu kita tidak boleh ambil tindakan terhadap mereka,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Dalam pada itu, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera (Bumipeda) pula berharap undang-undang yang lebih adil dan saksama dapat dilaksanakan, kerana sebagai pengusaha stesen minyak, mereka tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai penguatkuasa.

“Undang-undang yang berat sebelah tidak akan menyelesaikan masalah ini. Oleh itu, kerjasama dan sokongan daripada pihak berkuasa amat diperlukan untuk menangani isu ini dengan berkesan,” kata Setiausaha Kehormatnya, Datin Hanny Julia Haron, kepada BM.

Kata beliau jumlah denda yang dikenakan adalah amat tinggi dan tidak setimpal dengan margin jualan yang diperoleh stesen minyak.

“Adalah mustahil bagi kami untuk sengaja menjual kepada kenderaan asing, apatah lagi dengan risiko penarikan lesen perniagaan, sedangkan kami telah memberikan komitmen sepenuhnya kepada perniagaan ini,” katanya sambil menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang menghukum kenderaan asing yang melakukan kesalahan itu.

Kata Datin Hanny Julia, walaupun sistem di stesen minyak telah ditingkatkan dengan kad kredit dan debit asing tidak boleh digunakan untuk pengisian petrol bersubsidi, masih terdapat kelemahan yang perlu diperhalusi dan diperbaiki untuk memastikan pelaksanaan penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Pakar undang-undang antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Salawati Mat Basir, mengakui larangan dibuat kerajaan Malaysia terhadap kenderaan asing yang membeli petrol RON95 hanya bersifat teguran dan menyukarkan penguatkuasaan yang lebih tegas.

“Ketika ini teguran dan tindakan dibuat hanya kepada isu-isu yang tular mengenainya, tetapi tiada satu tindakan yang dikenakan. Untuk mewujudkan undang-undang mengenainya, banyak perkara perlu diambil kira termasuk hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, namun ia boleh dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, ketika ditanya mengenai gesaan tentang perkara itu, berkata cadangan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 dijangka membantu penyelesaian masalah itu secara tuntas.

“Kita boleh wujudkan hukuman ke atas kenderaan asing yang melakukan kesalahan ini, tetapi pelaksanaannya tidak mudah. Di Malaysia juga kita ada kes penyeludupan di tengah laut dan sebagainya, yang jumlahnya jauh lebih besar.

“Namun, cadangan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 tahun ini boleh mengatasi masalah ketirisan subsidi untuk rakyat Malaysia ini,” katanya sambil mengulangi peringatan untuk kenderaan asing menghormati undang-undang Malaysia, termasuk larangan membeli petrol RON95.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg