Pasar malam muncul sebagai tunjang utama ekonomi Malaysia khususnya semasa krisis, demikian menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
Ia berkata semasa kegawatan ekonomi, pasar malam menjadi talian hayat penting yang menawarkan peluang pekerjaan kepada individu yang kehilangan pekerjaan, selain menyediakan platform kepada mereka yang ingin beralih kepada perniagaan atau bekerja sendiri demi kelangsungan hidup.
“Pasar malam sudah berakar umbi dalam masyarakat Malaysia kerana ia dilihat sebagai alternatif kepada pasar raya yang menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih santai dan selesa.
“Selaras dengan perubahan corak perbelanjaan apabila semakin ramai individu cenderung untuk membeli makanan di luar rumah, pasar malam memberi manfaat kepada pelbagai golongan, khususnya ibu bekerja dan suri rumah yang mempunyai jadual harian padat atau tanggungjawab penjagaan yang mencabar.
“Kepelbagaian barangan yang ditawarkan pada harga yang umumnya berpatutan dan mampu milik turut membantu meringankan tekanan kewangan, terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa,” katanya.
Kertas perbincangan itu disediakan oleh penganalisis, Cik Nur Sofea Hasmira Azahar dan Encik Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim, bertajuk ‘Mengapa Pasar Malam Penting?: Sorotan Kajian Lepas’.
KRI berkata, pasar malam adalah satu komponen yang unik dan penting dalam landskap dan budaya penjaja di Malaysia, lapor Berita Harian Malaysia.
Katanya, selain menawarkan peluang ekonomi, pasar malam turut mencerminkan warisan budaya, interaksi sosial dan mewakili model perniagaan yang sentiasa berkembang selari dengan dinamik perbandaran.
Ia menambah, pasar malam secara umumnya mempunyai takrifan yang berbeza-beza, bergantung pada pengalaman unik individu dalam konteks ekonomi sesebuah negara.
“Meskipun terdapat perbezaan antara satu sama lain, pasar malam lazimnya mempunyai enam ciri utama iaitu peranannya sebagai pusat kebudayaan dan sosial, menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan, pusat tarikan pelancong, memupuk budaya tawar-menawar, mudah diakses dan dilengkapi dengan kemudahan asas serta menyumbang secara signifikan kepada ekonomi setempat.
“Di Malaysia, kegiatan penjaja pada waktu malam yang digelar sebagai pasar malam membentuk kategori tersendiri dalam dunia penjajaan yang lebih luas.
“Pasar malam menampilkan gabungan unik antara budaya dengan gaya hidup yang terhasil daripada kepelbagaian masyarakat dan perubahan gaya hidup,” katanya.
KRI berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) mengklasifikasikan pasar malam di bawah kategori khusus iaitu Orientasi Perniagaan Kecil (SBO).
“Kategori ini merujuk kepada perniagaan berskala kecil yang beroperasi sama ada secara tidak berdaftar atau berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Pejabat Daerah bagi memastikan kemampanan perniagaan melalui sokongan yang disediakan,” katanya.
Menurut KRI, pertumbuhan dan pembangunan pasar malam sebahagian besarnya dipacu oleh dasar-dasar sokongan oleh kerajaan seperti akses yang lebih luas kepada pinjaman, permit dan lesen selain usaha untuk mempromosikan peluang yang adil merentasi kumpulan etnik.
Katanya, ia turut dipacu oleh inisiatif peningkatan kemahiran bagi peniaga kecil; penambahbaikan prasarana, pengadaptasian digital yang lebih cepat dan pelaksanaan garis panduan yang berstruktur oleh pihak berkuasa tempatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg