Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penganggur didakwa bunuh isteri, simpan mayat 4 hari

Dec 18, 2025 | 12:15 PM
Khairul Rizuan Abdullah, kes bunuh, mahkamah, malaysia, penang
Khairul Rizuan Abdullah dihadapkan ke mahkamah pada 18 Disember atas pertuduhan membunuh isterinya pada 8 Disember lalu. - Foto BHM

BUKIT MERTAJAM (Penang): Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 18 Disember atas pertuduhan membunuh isterinya pada 8 Disember lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Khairul Rizuan Abdullah, 28 tahun, yang hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh isteri, Cik Wan Khairul Safinah Ishak, 44 tahun, di Flat Tuna, Jalan Tuna, Seberang Jaya dekat sini, kira-kira 4 petang 8 Disember lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung, jika sabit kesalahan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Anis Suhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

DPP Anis Suhada tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan kes adalah jenayah bunuh.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, serta menetapkan 10 Februari 2026 sebagai tarikh serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki disyaki membunuh isterinya dan menyimpan mayat wanita itu selama empat hari sebelum tampil ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

Suspek hadir sendiri ke balai polis dan mengaku berlaku kematian di rumah mereka di tingkat dua pangsapuri berkenaan.

Hasil pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat seorang wanita dengan kesan kelar pada leher dipercayai diakibatkan senjata tajam, di dalam bilik belakang rumah itu.

Suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.

Difahamkan mangsa berkahwin dengan suspek sejak 2023 yang juga perkahwinan kali ketiganya.

Hasil siasatan mendapati punca kejadian dipercayai bermotifkan cemburu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg