Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penganggur mengaku tak salah bunuh ibu, bapa, anak saudara

Jul 9, 2025 | 4:00 PM
Azman Mohamed Nor berkerusi roda akibat penyakit saraf didakwa di Mahkamah Tinggi Muar pada 9 Julai atas tiga tuduhan membunuh.
Azman Mohamed Nor berkerusi roda akibat penyakit saraf didakwa di Mahkamah Tinggi Muar pada 9 Julai atas tiga tuduhan membunuh. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

MUAR: Seorang penganggur yang sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun dihadapkan pula tuduhan di Mahkamah Tinggi Muar atas jenayah membunuh ibu, bapa dan anak saudaranya dalam kejadian di Pagoh, Ogos 2024.

Azman Mohamed Nor, 48 tahun, yang berkerusi roda akibat penyakit saraf didakwa di hadapan Hakim Suria Kumar DJ Paul mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.

Dia yang masih bujang menghadapi tiga tuduhan membunuh ibunya, Ara Abd Hamid, 76 tahun; bapanya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82 tahun; dan anak saudaranya, Noradriana Nor Hasyim, 11 tahun; antara 1 hingga 3 pagi di sebuah rumah di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh, 9 Ogos 2024.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Cik Nur Aqiilah Ahmad Rofaie, manakala Azman yang kini sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan denda RM5,000 ($1,504) atas kesalahan mencederakan seorang lagi anak saudaranya, tidak diwakili peguam, lapor Berita Harian Malaysia.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan dikenakan sebelum pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baru bagi pengurusan kes berikutan beberapa dokumen belum lengkap sepenuhnya, termasuk gambar tempat kejadian.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos untuk serahan dokumen serta lantikan peguam tertuduh.

Pada 16 Mei lalu, Mahkamah Majistret Muar yang beberapa kali mendengar sebutan kes berkenaan membenarkannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk pendakwaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg