Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengasas KK Supermart temu Agong, mohon maaf atas stoking tertera kalimah Allah

Apr 3, 2024 | 4:16 PM
Dr Chai Kee Kan (kanan) menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara bagi memohon ampun berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.
Dr Chai Kee Kan (kanan) menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara bagi memohon ampun berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’. - FOTO FACEBOOK SULTAN IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi memohon maaf berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Datuk Chai selama 15 minit di Istana Negara pada 3 April.

Pada pertemuan itu, baginda berkata semua pihak termasuk KK Mart perlu lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelak perkara sedemikian berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini.

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” ujar beliau, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Kedai serbaneka KK Mart mengundang kontroversi selepas stoking yang tertera kalimah Allah ditemui di tiga cawangannya.

KK Mart dan bekas pembekalnya kemudiannya memohon maaf atas perkara itu dan mendakwa mereka terlepas pandang.

Pada Mac lalu, Datuk Chai dan isterinya Datin Seri Loh Siew Mui, selaku pengarah, telah diheret ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan didakwa dengan tuduhan sengaja menyinggung perasaan orang Islam.

Mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan. Selain menjadi sasaran kempen boikot, khususnya daripada Pemuda Umno, tiga kedai serbaneka diserang cubaan bom api.

Sementara itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sudah mengarahkan Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, untuk menghentikan isu stoking kalimah Allah yang dikaitkan dengan kedai serbaneka, KK Mart.

Ahli MKT, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tidak timbul soal bersetuju atau tidak dengan tindakan Dr Akmal menekan KK Mart dalam isu itu, memandangkan keputusan sudah dibuat oleh Umno yang mahu perkara itu dihentikan.

Katanya, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sendiri yang meminta agar perkara itu dihentikan dan tidak lagi dijadikan isu, ujar Datuk Bung Moktar.

“Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan supaya menghentikan isu itu dan bagi saya, itu sudah memadai,” katanya ditemui pemberita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg