Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengasas Qiszar naik pelamin impian selepas hampir 2 dekad berkahwin

May 2, 2025 | 4:10 PM
Norasila Sail, Qiszar, Muhammad Hafizfi Tarmizi
Selepas 18 tahun melalui suka duka, pengasas jenama baju terkenal, Qiszar, Cik Norasila Sail, dan suami, Encik Muhammad Hafizfi Tarmizi, akhirnya meraikan cinta mereka dalam majlis perkahwinan impian. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK NORASILA SAIL

Kisah cinta pemilik dan pengasas jenama baju terkenal, Qiszar, Cik Norasila Sail, 34 tahun, dan suaminya, Encik Muhammad Hafizfi Tarmizi, 36 tahun, membuktikan bahawa setiap ujian dan susah payah yang dilalui bersama mampu membawa kepada kejayaan luar biasa.

Selepas 18 tahun melalui suka duka, pasangan itu akhirnya meraikan cinta mereka dalam majlis perkahwinan impian yang turut dihiburkan oleh penyanyi popular dari Indonesia, Afgan.

Cik Norasila berkata beliau dan suaminya mendirikan rumah tangga pada usia muda dalam satu majlis ringkas disebabkan tidak berkemampuan.

“Kami kahwin sangat muda. Kedua-dua keluarga pun susah. Ayah saya sakit kronik dan tidak bekerja, mak kerja kilang. Suami pula datang daripada keluarga yang telah berpisah.

“Akad nikah ketika itu sangat sederhana. Mekap pun ambil yang harga RM30 ($9) daripada salon dekat rumah. Semua serba ringkas,” katanya kepada Sinar Harian pada 30 April.

Menurutnya, mereka juga tidak mempunyai pelamin indah seperti mana pengantin lain dan terpaksa menumpang pelamin orang lain.

“Ketika itu, pengantin sebenar lalu dan kami rasa malu dan memang ingat sehingga sekarang kejadian tersebut,” katanya.

Menurut Norasila, mereka meneruskan hidup sebagai suami isteri dalam keadaan serba kekurangan dan ada ketika tidak mampu membeli lampin pakai buang dan susu untuk anak mereka.

Bagaimanapun, kongsinya lagi, mereka berdua tetap kuat dan terus menyimpan impian untuk naik pelamin satu hari nanti.

“Alhamdulillah, sekarang rezeki makin baik dan dapat juga realisasikan impian naik pelamin sempena ulang tahun ke-18,” ujarnya.

Norasila menambah, mereka mengambil keputusan mengadakan semula majlis perkahwinan kali ini secara spontan selepas hampir dua dekad bersama.

“Selepas balik tengok konsert Afgan Januari lepas, kemudian suami cadangkan jemput Afgan ke majlis kami,” ujarnya lagi.

Menurutnya, mereka berdua amat meminati Afgan dan menjemput beliau memandangkan lagu penyanyi terkenal itu memang sinonim dengan kisah cinta mereka sejak dulu.

“Kebetulan, kakitangan Qiszar juga amat meminati Afgan. Jadi, kami pun belanja mereka tengok konsert percuma dengan dendangan lapan lagu daripada Afgan,” kongsi beliau lagi.

Lebih istimewa, beliau berasa gembira dan teruja memandangkan anak-anak mereka turut bersama meraikan detik bermakna itu.

Cik Noralisa menyatakan rasa syukur atas perjalanan hidupnya dan berterima kasih kepada suami yang sentiasa setia walaupun diuji pelbagai cabaran.

Terdahulu, video dikongsikan usahawan wanita itu mendapat 2.5 juta tontonan dengan lebih 157,000 tanda suka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg