Kerajaan Johor terus memperkemas pengurusan aliran bas rentas sempadan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, bagi menangani kesesakan yang dihadapi lebih 60,000 penumpang setiap hari yang menggunakan perkhidmatan ke Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata langkah terbaru melibatkan pengasingan barisan beratur sejak dari dewan penumpang lagi.
“Langkah ini membolehkan pengasingan penumpang dilakukan lebih awal, memandangkan mereka menaiki bas yang berlainan jenis. Ia membantu mengurangkan kesesakan di kawasan menunggu,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 Jun.
Setakat ini, terdapat lapan jenis bas yang beroperasi di BSI. Enam daripadanya merupakan bas awam – CW, SBST, AC7, SMRT, SJE dan TranStar – manakala selebihnya ialah bas kilang dan bas persiaran.
Menurut Encik Mohamad Fazli, lima daripada bas awam terbabit dikendalikan oleh operator dari Singapura.
“Pengasingan laluan turut dilaksanakan mengikut bahagian kiri dan kanan laluan bas bagi memastikan pergerakan bas shuttle (ulang-alik) antara BSI dengan Woodlands tidak terhalang.
“Alhamdulillah, kesan awal pelaksanaan ini amat memberangsangkan apabila perkhidmatan looping (penggelungan) antara BSI dengan Singapura semakin lancar,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan Johor sedang menjalankan kajian berhubung bas kilang yang mengambil penumpang awam di kawasan BSI, satu tindakan yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menimbulkan kesesakan dan risiko keselamatan.
“Aktiviti ini menyebabkan orang ramai berkumpul di kawasan yang dikhaskan untuk pekerja kilang, mengganggu kelancaran operasi dan membahayakan keselamatan,” katanya.
Bagi mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu penumpang, Encik Mohamad Fazli berkata pihaknya telah berhubung dengan pengusaha bas dari Singapura agar operasi mereka dimulakan seawal 4 pagi.
Beliau menegaskan bahawa semua penambahbaikan yang dilaksanakan akan dipantau secara berterusan demi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam rentas sempadan di BSI berjalan dengan lebih cekap dan selamat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg