KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara setahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Disember, selepas mengaku bersalah atas empat tuduhan memiliki buku, lukisan bendera dan video serta menyediakan artikel berkaitan kumpulan ISIS Jun lalu.
Hakim K Muniandy menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Norulaini Supardi, 34 tahun, dan memerintahkan hukuman penjara bagi keempat-empat tuduhan berjalan serentak bermula tarikh tangkap, iaitu pada 23 Jun lalu.
Mengikut tuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa memiliki tiga buku, satu lukisan bendera dan dua video di dalam telefon bimbitnya yang berkaitan kumpulan ISIS di sebuah rumah di Kajang pada 9.25 pagi, 23 Jun lalu.
Lelaki itu juga didakwa atas tuduhan menyediakan satu artikel berkaitan dengan kumpulan ISIS di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman serupa.
Menurut laporan pakar yang dibacakan di mahkamah, bahan-bahan yang dimiliki dan disediakan oleh tertuduh mempunyai elemen yang subversif atau mempunyai kecenderungan melahirkan kebencian kepada individu, kerajaan atau pemimpin dan boleh menggugat kesejahteraan negara, lapor Berita Harian Malaysia.
Bahan-bahan berkenaan didapati menyokong ideologi kumpulan militan ISIS dan boleh mendorong perasaan benci serta ketidakpuasan hati yang ekstrem.
Sokongan terhadap ideologi ini dilihat berbahaya kerana mampu mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian negara, sekali gus menjejas kestabilan masyarakat yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam prosiding pada 19 Disember, Muhamad Norulaini, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan atas alasan dia mempunyai tanggungan lima anak dan isteri.
“Saya memohon Yang Arif kurangkan hukuman saya. Saya kehilangan seorang anak pada Ogos lalu semasa saya berada dalam penjara,” kata tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Ainaa Ridzwan bagaimanapun memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.
“Dalam kes ini, ia melibatkan kesalahan keselamatan dan ketika laporan pakar dibacakan secara jelas menyatakan bahan ini boleh membawa porak peranda kepada negara. Ia adalah bahan yang berbahaya dan boleh meruntuh satu demokrasi jika rakyat terpengaruh dengan bahan-bahan tersebut.
“Daripada hujah pihak pendakwaan, kita dapat lihat betapa taasubnya tertuduh ini sehingga boleh menulis satu artikel berkaitan dengan ideologi ISIS,” kata Cik Nur Ainaa.
Dalam kes berasingan di Ayer Keroh, Melaka, anak lelaki dan menantu pengasas Al-Arqam, As’aari Muhammad, didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada 19 Disember atas tuduhan cuba dan bersubahat menghina Islam dengan memiliki tiga penerbitan difatwakan haram oleh Mufti Melaka, pada September lalu.
Muhammad ‘Athoullah As’aari, 39 tahun, dan isteri, Ummu Habibah Raihan, 41 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin.
Berdasarkan tuduhan, Muhammad ‘Athoullah didapati memiliki buku berjudul ‘Politik Islam Membawa Kasih Sayang dan Pendidikan Rasulullah’ serta satu bingkai bergambar As’aari.
Ummu Habibah pula didapati bersubahat dengan kesalahan dilakukan Muhammad ‘Athoullah apabila menyimpan bahan penerbitan berkenaan.
“
“Dalam kes ini, ia melibatkan kesalahan keselamatan dan ketika laporan pakar dibacakan secara jelas menyatakan bahan ini boleh membawa porak peranda kepada negara. Ia adalah bahan yang berbahaya dan boleh meruntuh satu demokrasi jika rakyat terpengaruh dengan bahan-bahan tersebut.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg