Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal gesa belia elak import politik asing tanpa fahami konteks, pengaruh radikal dalam talian

Belia boleh jadi pemangkin galak perpaduan sosial, tingkat kesedaran tentang bahaya maklumat yang salah dan bahan radikal
Nov 11, 2024 | 5:30 AM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah) bersama peserta Forum Belia tahunan anjuran Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG),  yang diadakan di Auditorium Ngee Ann Kongsi Universiti Pengurusan Singapura (SMU)
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah) bersama peserta Forum Belia tahunan anjuran Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG), yang diadakan di Auditorium Ngee Ann Kongsi Universiti Pengurusan Singapura (SMU) - Foto FACEBOOK/ MUHAMMAD FAISHAL IBRAHIM

Forum ini adalah platform penting untuk teruskan perbincangan kita mengenai keperluan menjaga keselamatan Singapura dan melindungi orang yang kita sayangi.

Belia adalah masa depan negara ini, seperti banyak negara lain, dan anda semua membawa tenaga, semangat dan minat yang hebat dalam perbincangan dan inisiatif untuk manfaat Singapura.

Saya sempat melawat beberapa sesi sampingan dan saya sangat kagum dan tersentuh dengan cara anda berkongsi pandangan anda dan ada juga yang menawarkan diri untuk bantu sebarkan mesej kepada rakan pelajar anda kerana anda merasakan apa yang kami lakukan akan membawa kebaikan kepada Singapura.

Anda tidak melihat perkara ini di banyak bahagian dunia, dan di sinilah belia kita menyerlah dan membolehkan orang lain belajar daripada mereka. Sebentar lagi, kita akan ada perbincangan dan saya menantikan dialog yang bermanfaat dengan anda semua.

Trend radikalisasi belia semakin membimbangkan di Singapura. Beberapa minggu lalu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengumumkan penahanan seorang remaja berusia 17 tahun, yang merancang melakukan serangan ke atas orang bukan Islam di Tampines.

Sebelum melakukan serangannya, remaja berkenaan memasang niat untuk pergi ke Syria bagi menyertai ISIS dan terlibat dalam keganasan bersenjata. Dia juga secara aktif berkongsi bahan-bahan radikal yang mempromosikan jihad bersenjata dengan pengikut akaun media sosialnya.

Radikalisasinya bermula pada Ogos 2023 selepas dia terdedah kepada ajaran pendakwah radikal asing dalam talian. Berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, terdapat lonjakan bahan pelampau dalam talian oleh ISIS dan kumpulan keganasan lain yang mengambil kesempatan daripada konflik, dan pendedahan kepada bahan-bahan ini akhirnya membawanya menjadi penyokong tegar ISIS.

Diinspirasikan oleh propaganda ISIS yang mengagungkan serangan nekad pisau dan semangat ‘berani mati’, dia merancang melakukan serangan pengganas di Singapura semasa cuti sekolah September baru-baru ini dan merancang menggunakan sama ada pisau dapur atau sepasang gunting di rumahnya sebagai senjata serangannya.

Remaja berkenaan ditangkap kurang daripada sebulan sebelum tarikh serangan yang dirancangnya. Kita begitu hampir dengan keganasan yang akan berlaku di salah satu kejiranan HDB kita.

Cuba bayangkan, jika kita tidak mampu menangkapnya, akan ada kesan yang ketara, bukan sahaja di Tampines tetapi seluruh Singapura dan rantau ini.

Malah, semasa menemui rakan sejawatan saya, mereka bertanya kepada saya tentang insiden itu.

Sejak 2015, termasuk kes ini, ISD telah menangani 14 tindakan radikal diri melibatkan belia Singapura berumur 20 tahun ke bawah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Lima daripadanya ditahan sejak 2020, termasuk kes terbaru ini, mereka mahu melakukan serangan di Singapura menggunakan senjata mudah seperti pisau.

Remaja ini telah diradikalkan pelbagai ideologi ganas - termasuk pejuang jihad militan dan sayap kanan pelampau.

Terdapat beberapa pengajaran penting yang boleh diambil daripada trend radikalisasi belia di Singapura. Pertama, peristiwa yang berlaku jauh, seperti konflik Israel-Hamas boleh memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap jiwa dan keselamatan negara kita.

Kedua, ruang dalam talian terus menjadi medium utama yang menyebabkan golongan belia terdedah kepada pengaruh negatif, termasuk idea radikal. Dan akhir sekali, ada keperluan bagi kita terus memupuk perpaduan sosial untuk mengelakkan mentaliti “kita-berbanding-mereka” daripada menyerap dan mengancam keharmonian kita.

Belia sebagai pemangkin mantapkan negara

Kita mesti berhati-hati dalam memberi respons kepada ehwal sema-
sa, tempatan mahupun di luar negara, terutama yang kompleks dan penuh
emosi seperti arus konflik Israel-Hamas, yang telah berkembang menjadi
konflik yang lebih luas melibatkan Israel dengan Iran pula.

Kini, terdapat bahaya ia berkembang menjadi perang skala penuh, yang boleh mengheret kuasa global ke dalam konflik. Kedudukan Singapura adalah jelas - kita berempati dengan krisis kemanusiaan di Gaza, mengutuk tindakan ketenteraan yang tidak seimbang daripada Israel, dan menggesa semua pihak supaya berusaha ke arah penyelesaian dua negara untuk mencapai keamanan jangka panjang.

Pendekatan berprinsip kita telah bolehkan Singapura bekerjasama rapat dengan negara serantau untuk segera menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa di Gaza. Sejak setahun lalu, Singapura menyumbang lebih $17 juta untuk Gaza.

Namun, kita mesti berhati-hati dengan bahaya maklumat yang salah berkenaan konflik, lebih arif dan gunakan minda kritis dalam mengambil maklumat.

Kita mesti mengkontekstualisasikan isu, fahami kerumitan geopolitik dan keseimbangan dengan apa yang baik untuk Singapura dan warga Singapura.

Ingat, kita tidak sepatutnya mengimport politik asing ke Singapura, yang akan menggugat keharmonian sosial kita dan melemahkan perpaduan sosial kita.

Itulah sebabnya kita harus sentiasa melibatkan diri dalam perbincangan membina dengan mencari cara menyelaraskan pandangan yang berbeza dengan perkara penting melibatkan Singapura, supaya kita boleh terus hidup harmoni dalam masyarakat sekular yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Baru-baru ini, saya bertemu dengan seorang pemimpin dari negara serantau. Beliau meminta untuk bertemu dengan saya kerana penglibatan saya dalam urusan Kementerian Pembangunan Negara dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri. Beliau berkongsi dengan saya masalah yang dihadapinya dalam menyepadukan rakyatnya, antara golongan minoriti dengan majoriti besar. Jadi, saya berkongsi dengannya apa yang kita lakukan di Singapura.

Dalam perbincangan, saya dapat melihat reaksinya - beliau bertanya, “Bagaimana anda boleh buat sebegini? Bagaimana anda boleh mencapai perkara ini?” Kemudian saya berkata, kita juga ada perbincangan seperti ini yang bukan sahaja melibatkan belia, malah masyarakat daripada pelbagai kaum, latar belakang yang berbeza, berlainan agama, berkumpul dan berbincang.

Beliau berkata, di negara asalnya, sebelum perbincangan bermula, akan berlaku huru-hara, kerana mereka tidak biasa dengan perkara sebegini. Beliau berkata: “Apa yang telah anda capai adalah sesuatu yang kami, di negara saya, (anggap sebagai) pencapaian sangat hebat dan ia adalah sesuatu yang kita tidak punyai bahan untuk lakukannya buat masa sekarang.” Tetapi mereka berharap dapat melakukannya kelak.

Perpaduan sosial, kehidupan berbilang kaum, keamanan dan keharmonian yang kita miliki adalah sesuatu yang banyak negara, ramai pemimpin di dunia, cita-citakan untuk miliki.

Dan apa yang penting dalam perbincangan adalah ia adalah sesuatu yang perlu kita hargai, kita harus terus membangunnya. Perkara seterusnya yang saya temui, atau lebih tepatnya semasa perbincangan kami, beliau menyedari bahawa ini adalah perkara yang sukar dilakukan ketika kita bergerak dalam beberapa dekad akan datang.

Kerana hari ini, seperti yang anda lihat, masyarakat global lebih terdedah dari segi keamanan dan keharmonian, dan justeru itulah, mereka mendapati bahawa ia adalah satu keajaiban bagi Singapura untuk mencapainya.

Sebaliknya, saya berkongsi dengan beliau bahawa kita tidak mulakannya semalam, kita mula melakukan berpuluh tahun yang lalu. Jadi, ia sentiasa menjadi kerja berterusan. Dan saya memberitahunya, kita akan terus bekerja keras supaya kita dapat terus membangunkan keamanan dan generasi akan datang kita, seperti anda sendiri, serta anak-anak kita dan anak cucu, akan dapat menikmati kehidupan berbilang kaum, aman dan harmoni bersama-sama.

Pemangkin di ruang dalam talian

Saya berkongsi tentang latar belakang apa yang berlaku dan bagaimana belia harus lebih arif dan ingat bahawa kita tidak seharusnya mengimport politik asing ke Singapura tanpa memahami konteks.

Namun, jika anda melihat dalam talian, ruang media sosial, ia mempunyai pembangunan trajektori yang tersendiri. Sebaliknya, ruang dalam talian dan media sosial telah menjadi taman permainan belia masa kini. Tetapi adakah anda pernah pertimbangkan bagaimana aktiviti anda dalam platform dalam talian ini boleh menjejas keselamatan dan keharmonian negara kita?

Kandungan yang anda ambil dan kongsi, secara tidak sedar, akan mempengaruhi sikap dan tingkah laku dunia sebenar anda, seperti yang berlaku kepada remaja radikal berusia 17 tahun yang saya sebutkan tadi.

Justeru, saya ingin menggalak semua belia agar mencermin diri dan menyedari apabila anda berada dalam talian.

Mengamalkan pemikiran kritis, dan (bertanya) soalan seperti, ‘Bagaimana sesuatu kandungan mewujudkan rasa?’ dan ‘Apa kesan kandungan itu terhadap bagaimana saya berfikir?’. Ini adalah soalan sangat penting yang anda mungkin ingin bertanya kerana ia boleh membantu dan melindungi diri anda daripada pengaruh negatif dalam talian.

Selain mengambil berat tentang apa yang anda gunakan dalam talian, apa lagi yang anda boleh buat? Selain menjadi pengguna kandungan, lebih baik anda cipta kandungan yang boleh menggalakkan perpaduan sosial dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya maklumat yang salah dan bahan radikal.

Dan jika anda terjumpa rakan yang menunjukkan tanda-tanda radikalisasi, maklumkan kepada pihak berkuasa supaya kita boleh bertindak sebelum mereka melukakan diri sendiri atau orang lain. Melaporkannya awal dan campur tangan awal akan menghalang orang yang kita sayangi daripada terjerumus lebih jauh ke dalam laluan radikal. Jangan jadi pemerhati, bantulah seseorang yang memerlukan bantuan atau nasihat dengan secara minimum merujukkan mereka atau berunding dengan kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Semasa perbincangan tadi dan apa yang dikongsi dalam sesi sampingan, anda juga telah memberikan saranan yang sangat baik tentang apa lagi yang boleh anda lakukan berkaitan dengan rakan sebaya anda, dan cara anda boleh membantu melayari perjalanan kita ke arah kehidupan bersama yang aman dan harmoni.

Pemangkin untuk galak perpaduan sosial

Di luar dunia dalam talian, anda juga boleh melakukan lebih banyak lagi dalam pergaulan sosial terdekat anda untuk menggalakkan budaya menerima persamaan sambil menerima perbezaan kita. Di sebalik perbezaan, penerimaan antara satu sama lain, telah membolehkan kita menghormati ruang bersama kita dan berkongsi identiti bersama sebagai warga Singapura, yang berfungsi sebagai asas keharmonian dan keselamatan yang kita nikmati.

Terdapat banyak cabaran di hadapan, memandangkan dunia hari ini menyaksikan masyarakat menjadi semakin partisan (menyokong sesuatu pihak) dan pandangan yang memecahbelahkan mudah diperkuatkan oleh media sosial.

Tetapi, belia boleh menjadi penukar corak permainan. Jadi, kita tidak boleh menyatakan bahawa perkara itu sedang berlaku sebegini. Ia tidak bermakna anda tidak boleh berbuat apa-apa. Malah, kita mesti melakukan sesuatu, melakukan aktiviti dan tindakan bersama-sama, supaya kita dapat terus menjadikan dunia yang lebih baik untuk kita hidup dengan aman, bersatu padu dan sekali gus membolehkan anda menjadi pengubah permainan.

Anda boleh mulakan dengan secara hormat mendengar pandangan yang bertentangan dan membalasnya dengan penuh santun dan membina. Anda juga boleh mengenal pasti projek prososial dan bekerjasama dengan belia lain untuk mencapainya.

Pemerintah komited menyokong inisiatif anda, terutamanya jika ia menyumbang kepada keselamatan dan keharmonian kita.

Perpaduan sosial juga akan memastikan unsur-unsur ekstremis tidak akan dapat menghancurkan kita sekiranya serangan pengganas berlaku.

Di peringkat nasional, inisiatif seperti pergerakan SGSecure telah menjadi kunci dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya ancaman keganasan, sambil melengkapi orang ramai dengan asas maklumat dan kemahiran tentang bertindak balas terhadap serangan tersebut.

Sementara kita terus berusaha untuk mengelakkan sebarang serangan pengganas daripada berlaku dengan campur tangan awal, cara kita bertindak balas sebagai komuniti pada “hari selepas” insiden itu adalah sama atau lebih penting.

Untuk itu, kita semua mesti bekerja secara kolektif untuk meningkatkan persefahaman, menghormati satu sama lain dan menggalakkan perpaduan sosial.

Sebagai kesimpulan, saya percaya bahawa penceramah jemputan pagi ini telah memberi anda pengetahuan dan perspektif yang berguna tentang ancaman dan isu keselamatan yang kita hadapi, dan bagaimana kita semua boleh bekerjasama untuk menanganinya.

Singapura adalah negara kita. Kita mahu membinanya bersama-sama. Kita mahu anda mempunyai kepentingan dalam membangunkannya. Tetapi konteks kita adalah unik dan luar biasa kerana apa yang dilakukan oleh golongan sebelum kita tidak bermakna kita tidak boleh meneruskannya. Kita mesti terus menjadikan negara ini luar biasa, berbeza. Jadi, ini adalah sesuatu yang sangat istimewa kepada Singapura, cara kita hidup bersama, cara kita membangun dan teruskan mengemudi bersama. Tidak kira apa yang berlaku di tempat lain, kita memahami konteks di Singapura, dan kita mahu anda, anak muda kita untuk meneruskan perjalanan ini. Saya ingin menggesa anda supaya mendekati rakan anda, rakan sebaya anda dan orang yang anda kenali untuk memulakan perjalanan ini bersama-sama.

Pertama, untuk mereka mempunyai kefahaman tentang konteks, tentang bagaimana mereka harus bertindak balas sebagai belia di Singapura, dan bagaimana mereka boleh memainkan peranan dalam menuju ke arah Singapura yang lebih baik, tahun yang lebih baik dari tahun ke tahun, dekad demi dekad, dan banyak lagi untuk generasi akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg