Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa penyerang dituduh tanam ideologi ganas ISIS, miliki senjata api

Oct 23, 2024 | 3:45 PM
Radin Imran Radin Mohd Yassin (tiga dari kanan) di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru pada 24 September.
Radin Imran Radin Mohd Yassin (tiga dari kanan) di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru pada 24 September. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Oktober, atas tiga tuduhan menanam fahaman ideologi pengganasan berkaitan ISIS, menyokong kumpulan pengganasan itu, dan memiliki senjata api.

Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 tahun, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid, yang kemudian menetapkan 15 November untuk pengurusan kes.

Dalam tuduhan pertama, Radin Imran didakwa dengan pengetahuan menggalak perbuatan pengganasan dengan menanamkan fahaman ideologi ISIS dalam diri empat anaknya – Radin Luqman, Radin Romyullah, Farhah Sobrina dan Mariah – serta isterinya, Rosna Jantan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru pada hujung 2014 hingga 17 Mei 2024.

Tuduhan di bawah Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, lapor Berita Harian Malaysia.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Radin Imran didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganasan dengan menyimpan empat senjata api, iaitu senapang angin buatan sendiri, untuk menjalankan kegiatan kumpulan ISIS, dan memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas, Abu Bakar al-Baghdadi.

Kedua-dua tuduhan itu membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda, dan dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Di hadapan hakim yang sama, anak perempuannya, Farhah Sobrina, 23 tahun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja tidak memberi maklumat berkenaan kesalahan yang dikatakan dilakukan bapanya dalam pertuduhan kedua dan ketiga.

Dia didakwa di bawah Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam serangan di balai polis itu pada 17 Mei, Khmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terkorban, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun, cedera ditembak.

Penyerang, Radin Luqman, 21 tahun, ditembak mati dalam kejadian tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg