Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengerusi BN Melaka akui walau beza pandangan, matlamat tetap satu
Pengerusi BN Melaka akui walau beza pandangan, matlamat tetap satu
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menegaskan senarai calon parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, pada 14 November depan, dimuktamadkan selepas mengambil kira pelbagai faktor.
“Mengapa perlu ada perubahan? Kita sudah meneliti setiap sudut sebelum membuat keputusan dan memuktamadkan nama calon.
“Jadi, mengapa perlu ada perubahan? Melainkan (calon itu) meninggal dunia,” katanya lapor The Star pada 25 Oktober.
Datuk Ab Rauf membuat kenyataan itu bagi mengulas rasa tidak puas hati pemimpin satu komponen BN – Persatuan Cina Malaysia (MCA) – yang bertindak keluar dari dewan tempat majlis pengumuman calon BN untuk PRN Melaka, pada malam 24 Oktober.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata parti itu berasa dipinggirkan selepas kerusi-kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini telah diperuntukkan kepada parti lain tanpa rundingan sewajarnya, meskipun MCA merupakan parti komponen BN sejak sekian lama.
Bagaimanapun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan memberi jaminan bahawa rundingan berhubung senarai calon MCA bagi PRN Melaka masih boleh diteruskan, sehingga sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober.
Datuk Ab Rauf dalam masa sama mengakui wujud perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen gabungan itu sehingga menimbulkan persepsi negatif dan menggores hati sesetengah pihak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kepentingan perpaduan perlu diutamakan bagi memastikan BN memperoleh mandat rakyat pada PRN Melaka, sekali gus menjadikan kemenangan di negeri itu sebagai landasan menuju Putrajaya.
Menurutnya perbezaan pandangan yang timbul perlu diketepikan demi matlamat lebih besar, iaitu memastikan BN kembali mendapat mandat rakyat di Melaka.
“Bukan mudah untuk menguruskan sesebuah parti, apatah lagi memelihara perpaduan dalam gabungan yang terdiri daripada pelbagai parti dengan pendirian masing-masing.
“Memang ada hati yang tergores, memang ada hati yang terluka. Tetapi kita melihat jauh daripada itu, bahawa gambaran yang akan menunjukkan kemenangan di Melaka, kerana gambaran itulah jambatan kita menuju Putrajaya.
“Elok (berjaya) di Melaka, insya-Allah elok sampainya kita ke Putrajaya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN Parlimen Kota Melaka di Alai, Melaka, pada malam 25 Oktober.
MCA sebelum ini bertanding di tujuh kerusi pada PRN Melaka 2021, tetapi kali ini hanya diperuntukkan dua kerusi, manakala Kongres India Malaysia (MIC) diberikan satu kerusi.
Untuk PRN Melaka kali ini, BN sekali lagi bekerjasama dengan gabungan pembangkang – Perikatan Nasional (PN) yang diperuntukkan baki tujuh kerusi, sementara BN bertanding mempertahankan 21 kerusi dimenangi pada PRN lalu.