MELAKA: Pemimpin-pemimpin Persatuan Cina Malaysia (MCA) telah bertindak keluar daripada majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan datang, dengan alasan parti itu tidak akan menerima keputusan yang dibuat tanpa persetujuannya.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata parti itu berasa dipinggirkan selepas kerusi-kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini telah diperuntukkan kepada parti lain tanpa rundingan sewajarnya, meskipun MCA merupakan parti komponen BN sejak sekian lama.

“MCA tidak boleh ditolak ke tepi begitu sahaja. Bagaimana keputusan boleh dibuat bagi pihak MCA tanpa persetujuan kami sedangkan Presiden MCA masih ada di sini?” ujarnya.

Datuk Seri Wee berkata demikian kepada media selepas beliau, Timbalan Presiden MCA, Encik Mah Hang Soon, dan pemimpin-pemimpin daripada enam bahagian MCA di Melaka bertindak keluar daripada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada 24 Oktober itu.

Menurutnya, MCA telah dimaklumkan oleh Setiausaha Eksekutif BN pada 9 malam 23 Oktober bahawa majlis itu hanya melibatkan pelancaran jentera pilihan raya, tanpa sebarang pengumuman calon.

Bagaimanapun, selepas tiba di majlis tersebut, beliau telah diberitahu oleh para anggota parti bahawa calon-calon dijangka diumumkan kelak.

Beliau kemudiannya mendapati bahawa atur cara majlis merangkumi segmen pengumuman calon dan bertindak mempersoalkan kepimpinan BN berhubung perubahan tersebut.

Datuk Seri Wee berkata MCA mendapat tahu dalam satu mesyuarat dua hari sebelumnya bahawa kerusi yang ditandinginya sebelum ini akan diagihkan kepada parti-parti lain, di sebalik ketiadaan rundingan yang sewajarnya dengan parti itu.

Beliau telah membantah sekeras-kerasnya dan MCA telah menulis surat kepada BN pada 23 Oktober untuk menyuarakan rasa tidak bersetuju terhadap cadangan peruntukan calon itu.

Biro politik pusat MCA bermesyuarat 9 pagi pada 24 Oktober dan memutuskan bahawa parti itu harus tetap menghadiri majlis pada sebelah malam sebagai sebuah parti komponen BN.

Bagaimanapun, pengumuman calon telah mendorong pemimpin-pemimpin MCA bertindak keluar dewan.

Menurutnya, keadaan sedemikian tidak pernah terjadi dalam tahun-tahun pembabitannya dalam politik selama ini.

Beliau berkata, MCA hanya pernah menemui parti-parti lain sekali di Melaka, sebelum rundingan dimuktamadkan dan mempersoalkan mengapa parti itu harus menerima perjanjian yang dicapai tanpa persetujuannya.

Pada PRN Melaka pada 2021, MCA bertanding di tujuh kerusi tetapi hanya menang kerusi Machap Jaya dan Klebang. - The Star. Asia News Network.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti