Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengetua tadika pulas telinga murid dek tersalah tulis huruf ‘G’

Mar 28, 2025 | 11:12 AM
Tertuduh yang juga ibu tunggal, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan memulas telinga mangsa di sebuah tadika di Taman Cempaka, kira-kira11.30 pagi 6 Mac 2024.
Tertuduh yang juga ibu tunggal, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan memulas telinga mangsa di sebuah tadika di Taman Cempaka, kira-kira11.30 pagi 6 Mac 2024. - Foto PIXABAY

AMPANG: Pengetua sebuah tadika didenda maksimum RM2,000 ($605.20) oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Mac, kerana menyebabkan kecederaan dengan memulas telinga seorang muridnya berusia enam tahun selepas kanak-kanak itu tersalah menulis huruf ‘G’.

Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 61 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan ke atasnya, menurut laporan akhbar Berita Harian Malaysia.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjarakan 20 hari jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan yang dikenakan, tertuduh yang juga ibu tunggal, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan itu dengan memulas telinga mangsa di sebuah tadika di Taman Cempaka, kira-kira 11.30 pagi 6 Mac 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu peguam, Cik Jenifer Irithusamy yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dan memberi peluang kepada anak guamnya berubah.

“Tertuduh ialah ibu tunggal serta mempunyai dua anak dan bekerja sebagai pengetua di tadika dengan pendapatan RM3,000 sebulan.

“Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah, polis dan mangsa atas perbuatannya, serta berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang sama lagi,” katanya.

Cik Jenifer memaklumkan bahawa setiap tahun, antara 15 hingga 20 kanak-kanak didaftarkan ibu bapa di tadika itu, dan berharap anak guamnya diberi peluang kedua untuk berubah.

“Di bawah jagaan tertuduh, ramai kanak-kanak menjadi insan bijak dan tertuduh sangat berharap sisa hidupnya dapat dihabiskan bersama keluarga tersayang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Encik Muhammad Hairuliqram Hairuddin, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dijatuhkan dan mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.

Mengikut fakta kes, ibu kandung kanak-kanak itu yang juga juruaudit berusia 37 tahun, dimaklumkan anak sulungnya berusia 10 tahun pada 6 Mac 2024 bahawa mangsa dikatakan dipukul oleh tertuduh dengan menggunakan pen ‘marker’ di tangan kanannya.

Tertuduh juga didakwa menarik serta memulas telinga mangsa kerana tersalah menulis huruf ‘G’.

Hasil pemeriksaan pegawai perubatan kemudian mengesahkan terdapat kecederaan tisu lembut pada telinga kanan kanak-kanak itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg